Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sarawak perlukan 17,500 hektar kawasan baharu sawah padi

    KUCHING, 14 MEI – Sarawak memerlukan 17,500 hektar kawasan baharu sawah padi yang mampu mengeluarkan sejumlah 392,000 tan metrik padi bagi mencapai tahap sara diri (SSL) 100 peratus.

    Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata pihaknya telah mengenal pasti kawasan baharu iaitu di Sri Aman, Kapit, Mukah dan Limbang bagi tujuan berkenaan.

    Beliau berkata kawasan itu akan dilengkapi infrastruktur tertier dan menumpukan kepada penanaman varieti padi berhasil tinggi.

    “Bagi meningkatkan pengeluaran padi, kerajaan juga perlu memulihkan dan menaik taraf beberapa skim Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedia ada di seluruh Sarawak,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

    Dr Rundi berkata setakat tahun lepas, pengeluaran padi Sarawak berjumlah kira-kira 118,000 tan metrik atau 32 peratus SSL.

    Beliau berkata bagi mencapai SSL 60 peratus, sejumlah RM1.2 bilion diperlukan untuk mewujudkan dan menaik taraf infrastruktur padi meliputi 4,500 hektar kawasan baharu dan 8,800 hektar skim JPS sedia ada. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda