Monday, September 23, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Satu maut, 11 hilang dalam kejadian banjir dan tanah susur

    WAJIMA, 22 SEPT – Banjir dan tanah susur mengorbankan seorang dan menyebabkan sekurang-kurangnya 11 hilang di tengah Jepun, dengan pasukan penyelamat bekerja hari ini di semenanjung terpencil yang telah pun musnah akibat gempa bumi besar tahun ini.

    Hujan lebat yang ‘tidak pernah berlaku sebelum ini’ yang melanda kawasan itu sejak kelmarin mulai reda, meninggalkan pemandangan kemusnahan yang berlumpur ketika agensi cuaca negara menggesa orang ramai untuk terus berwaspada terhadap tanah peroi dan bahaya lain.

    Di bandar Wajima, dahan-dahan yang patah dan pokok besar yang tercabut terkumpul di jambatan di atas sungai yang keruh yang hampir melimpah ke jalan raya.

    Orang ramai dilihat meredah lumpur bagi cuba mengeluarkan kereta yang separa tertimbus, manakala di tempat lain, air banjir menenggelamkan perumahan kecemasan yang dibina untuk mereka yang kehilangan tempat tinggal dalam gempa bumi pada Hari Tahun Baharu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 318 orang.

    Akemi Yamashita, seorang penduduk berusia 54 tahun, memberitahu AFP dia sedang memandu kelmarin apabila ‘dalam masa 30 minit atau lebih, air melimpah ke jalan dan meningkat dengan cepat sehingga separuh ketinggian kereta saya’.

    “Saya bercakap dengan penduduk Wajima yang lain semalam, dan mereka berkata, ‘sangat menyedihkan untuk tinggal di bandar ini’. Saya berasa sebak apabila mendengarnya,” katanya sambil menyifatkan gempa bumi dan banjir itu sebagai ‘seperti babak dalam filem’.

    Lapan kompleks perumahan sementara terjejas di Wajima dan Suzu, dua daripada bandar di Semenanjung Noto yang musnah akibat gempa bumi berukuran 7.5 magnitud, yang meruntuhkan bangunan, mencetuskan gelombang tsunami dan mengakibatkan kebakaran besar. – AFP

    Anggota bomba mencari mangsa yang hilang, melalui serpihan yang dihanyutkan selepas hujan lebat mengakibatkan banjir di bandar Wajima, wilayah Ishikawa, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda