Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saudi flynas beli 90 pesawat Airbus

    PARIS, 26 JULAI – Gergasi penerbangan Eropah, Airbus, mengumumkan kelmarin bahawa syarikat penerbangan tambang rendah Saudi, flynas, telah menandatangani perjanjian untuk membeli 75 pesawat A320neo dan 15 pesawat jarak jauh A330-900.

    Pesawat-pesawat tersebut mempunyai harga katalog berjumlah AS$13 bilion, walaupun tempahan besar biasanya mendapat diskaun yang signifikan.

    Kedua-dua pihak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Farnborough International Airshow di United Kingdom (UK), yang berjaya mendapatkan pesanan besar untuk pesaing Airbus dari Amerika Syarikat (AS), Boeing, minggu ini.

    Pemeteraian itu bermaksud kedua-dua syarikat bersetuju dengan pembelian, dan butiran dimuktamadkan kemudian, bertentangan dengan pesanan biasa yang termasuk pembayaran.

    Flynas, yang diasaskan pada tahun 2007, hanya menggunakan pesawat Airbus. Armada mereka termasuk 52 pesawat A320 dan empat pesawat A330 yang disewa.

    Syarikat itu telah pun menempah 65 pesawat A320 dan A321.

    Pesawat A330 yang dipesan oleh flynas akan diubahsuai untuk menampung 400 penumpang, kata Airbus, berbanding dengan 300 penumpang sekarang.

    “A330neo akan meningkatkan keupayaan jarak jauh kami dengan teknologi canggih dan kecekapan serta menyokong rancangan pertumbuhan kami dan program haji Arab Saudi (Mekah),” kata Ketua Pegawai Eksekutif, flynas, Bander Almohanna. – AFP

    Gambar fail bertarikh 27 September 2021 menunjukkan pemandangan pesawat tambang murah antarabangsa Saudi Flynas Airbus A320 di landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda