Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saya telah meninggalkan legasi – Nadal

    MÁLAGA, 20 NOV – Rafael Nadal berkata dia telah meninggalkan warisan sukan dan peribadi selepas bersara daripada tenis profesional di Piala Davis kelmarin.

    Pemain berusia 38 tahun itu ditewaskan dalam perlawanan perseorangan pembukaan suku akhir ketika Belanda menewaskan Sepanyol 2-1 untuk mara ke empat akhir.

    Nadal, pemenang Grand Slam 22 kali, menikmati kerjaya yang gemilang dan bersejarah sepanjang 23 tahun lalu.

    “Saya pergi dengan ketenangan fikiran bahawa saya telah meninggalkan legasi, yang sebenarnya saya rasakan bukan sekadar sukan tetapi juga peribadi,” kata Nadal kepada peminat di Malaga dalam ucapan semasa majlis menghormati persaraannya.

    “Saya faham bahawa cinta yang saya terima, jika ia hanya untuk apa yang berlaku di gelanggang, tidak akan sama.”

    Nadal memberi pujian kepada ramai yang telah membantunya sepanjang perjalanan, termasuk bapa saudaranya Toni Nadal, yang melatihnya semasa kecil dan sebahagian besar kariernya.

    “Jumlah gelaran yang dimenangi memang ada, jadi orang mungkin sudah tahu, tetapi saya mahu lebih diingati sebagai orang yang baik, dari sebuah kampung kecil di Mallorca,” sambung Nadal.

    “Saya bernasib baik kerana mempunyai bapa saudara saya yang merupakan jurulatih tenis di kampung saya ketika saya masih kecil, dan keluarga hebat yang menyokong saya setiap saat…

    “Saya hanya mahu dikenang sebagai seorang yang baik, seorang kanak-kanak yang mengejar impiannya dan mencapai (malah) lebih daripada apa yang diimpikan.”

    Nadal diraikan dengan paparan montaj video di banyak skrin sekitar arena Martin Carpena di Malaga di mana lebih 10,000 peminat menyaksikan kariernya semakin sampai ke penghujung.

    Bekas pesaing Roger Federer, Novak Djokovic, Andy Murray, Serena Williams dan pemain tenis lain meninggalkan mesej dalam video itu, bersama bekas bintang bola sepak Sepanyol termasuk Raul dan Andres Iniesta, yang bersara daripada bermain pada Oktober.

    “Saya meninggalkan dunia tenis profesional setelah bertemu dengan ramai kawan baik sepanjang perjalanan,” kata Nadal dalam ucapannya yang penuh emosi.

    Pemain Sepanyol itu berkata dia berharap untuk menjadi ‘duta yang baik’ untuk tenis pada tahun-tahun akan datang dan tidak takut untuk memulakan persaraannya.

    “Saya tenang kerana mendapat pendidikan untuk menempuh apa yang akan datang,” jelasnya.

    “Saya mempunyai keluarga yang hebat di sekeliling saya yang membantu saya dengan segala yang saya perlukan setiap hari.”

    Sementara itu, pemain nombor tiga dunia, Alcaraz, 21, adalah antara bakat paling cemerlang dalam permainan dan pemain yang diharap boleh menjadi pewaris Nadal.

    “Warisannya akan kekal selama-lamanya,” kata Alcaraz kepada pemberita.

    “Dia hebat dalam sukan tenis, , sukar bagi saya untuk meneruskan legasi yang ditinggalkannya.

    “Dia memberikan segala yang dia ada, semua tenaganya… sedih melihat dia pergi tetapi kami perlu menerimanya,” tambah Alcaraz. – AFP

    Rafael Nadal melambai semasa memberi penghormatan semasa Pusingan Akhir Piala Davis di arena Palacio de Deportes Jose Maria Martin Carpena di Malaga kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda