Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    SCSB lancar alat pelaburan baharu

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Standard Chartered Securities (B) Bhd (SCSB) telah memperkenalkan alat pelaburan baharu melalui perbankan dalam talian dan aplikasi mudah alih SC Standard Chartered (StanChart) yang membolehkan para pelanggan sedia ada melaksanakan Profil Pelaburan Pelanggan atau (CIP) mereka.

    Proses CIP itu penting untuk menentukan selera risiko pelanggan dan memadankan profil pelaburan mereka dengan produk yang sesuai. Dengan keupayaan dalam talian ini, pelanggan boleh melakukan pemprofilan pada bila-bila masa dan mengakses rekod lampau mereka.

    Pelanggan bukan pelabur juga boleh melakukan pemprofilan ini jika mereka berminat untuk mendedahkan selera risiko dan penarafan mereka.

    Ketua Pegawai Eksekutif SCSB dan Ketua Perbankan Runcit dan Harta, StanChart Brunei, Brenda Low, berkata bank berasa gembira untuk melancarkan proses digital yang memudahkan pelanggan bank dan bukan pelabur memulakan perjalanan pelaburan mereka. SCSB, yang ditubuhkan pada Julai 2016 dan dilesenkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), menawarkan pelbagai produk dan platform pelaburan yang komprehensif.

    “Dengan kesedaran dan pendidikan yang berterusan, kami berhasrat untuk memperkasakan pelanggan kami dengan banyak sumber dan keupayaan bagi pelanggan kami mengawal aspirasi kekayaan mereka dan mengambil kesempatan di mana peluang hadir untuk mengembangkan dan memelihara kekayaan mereka,” ujarnya.

    Oleh yang demikian, bakal pelabur dikehendaki melengkapkan penilaian pemprofilan risiko pelanggan untuk memastikan pelanggan memahami selera risiko mereka sebelum mengambil sebarang produk kekayaan.

    Pelabur yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai produk dan perkhidmatan pelaburan boleh mengunjungi cawangan StanChart Gadong dan Kuala Belait untuk berhubung terus dengan mana-mana pengurus perhubungan atau perunding kekayaan berlesen bank.

    Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang bank atau mengikuti Facebook dan Instagram bank.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda