Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sebulat suara pilih Awang Mohammad Farid

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 19 MEI – Penduduk sekitar Kampung Pandan D hari ini telah mengundi Awang Mohammad Farid bin Kasim sebagai calon ketua kampung yang baharu pada sesi pengundian yang diadakan di Dewan Serba Guna Sekolah Menengah Sayyidina Ali.

    Hadir bagi menyaksikan pengundian fizikal serta pengiraan undi pada sesi itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad, yang diiringi oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Ketua Kampung Bukit Sawat, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann, dan wakil daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Mohammad Haazeq bin Arsad.

    Turut hadir ialah penghulu mukim dan ketua kampung dari seluruh Daerah Belait.

    Semasa acara berkenaan, Pemangku Pegawai Daerah Belait menekankan betapa pentingnya peranan ketua kampung dalam mengekalkan keharmonian dan perpaduan di kampung, yang menjadi mata dan telinga kerajaan di peringkat kampung, serta mewakili kampung dan warganya.

    Calon tunggal berusia 34 tahun, Awang Mohammad Farid merupakan graduan O Level yang kini bertugas sebagai pembantu jururawat di Jabatan Perkhidmatan Renal, Kementerian Kesihatan.

    Seramai 53 pengundi telah membuang undi secara fizikal memihak kepada Awang Mohammad Farid untuk dipilih sebagai ketua kampung, tanpa undi diambil kira melalui aplikasi e-undi PMKK yang telah dimulakan sejak 17 Mei lalu.

    Keputusan tersebut akan diserahkan kepada Lembaga Pelantikan, Disiplin dan Tatacara Penghulu Mukim dan Ketua Kampung di KHEDN untuk diproses.

    Gambar semasa undian sedang dikira di Dewan Serba Guna Sekolah Menengah Sayyidina Ali kelmarin. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Awang Mohammad Farid bersama antara penyokong yang hadir semasa sesi pengundian tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda