Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Selesema burung dikesan pada alpaka

    WASHINGTON, 29 MEI – Kes selesema burung telah dikesan pada alpaka di ladang Amerika Syarikat (AS), kata pihak berkuasa kelmarin, ketika penyakit itu merebak secara meluas dalam kalangan lembu tenusu dan telah menjangkiti dua individu.

    Makmal Perkhidmatan Veterinar Kebangsaan mengesahkan varian virus selesema burung yang sangat patogenik dikenali sebagai H5N1 telah dikesan di ladang Idaho, yang mana ternakan ayam yang dijangkiti telah dipindahkan bulan ini, kata Jabatan Pertanian.

    Pengesanan ini tidak mengejutkan kerana beberapa sebab, termasuk jangkitan awal di ladang tersebut, kata jabatan itu. Namun, ini adalah kali pertama virus itu ditemui pada alpaka, haiwan daripada famili unta yang berasal dari Andes dan diternak terutamanya kerana bulu haiwan itu yang berharga.

    Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, varian H5N1 telah dikesan dalam lebih daripada 50 spesies haiwan di AS, termasuk lembu tenusu.

    Dua orang pekerja di ladang didapati dijangkiti selesema burung, walaupun hanya mempunyai simptom ringan.

    Minggu lalu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS berkata penilaian risikonya untuk orang awam kekal rendah tetapi ia mencadangkan lebih banyak kes dijangka berlaku.

    Pakar-pakar menyatakan kebimbangan mereka terhadap peningkatan jumlah mamalia yang dijangkiti selesema burung walaupun kes dalam kalangan manusia masih jarang berlaku.

    Tiada bukti penularan dari manusia ke manusia pada masa ini, tetapi pegawai kesihatan bimbang sekiranya virus itu akhirnya merebak secara meluas, ia boleh bermutasi menjadi bentuk yang boleh merebak antara manusia. – AFP

    Alpacas berkeliaran di padang tanah di ladang di sepanjang Chalk Hill Road di Windsor, California pada 28 Oktober 2019. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda