Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sembahyang cegah perbuatan keji dan mungkar

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 FEB – Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) minggu ini diserikan dengan tazkirah yang bertajuk Sembahyang Tiang Agama yang diadakan secara dalam talian kelmarin.

              Tazkirah disampaikan oleh Imam Tingkat 3, Awang Muhammad Khaizuran Amali bin Haji Kamsani dari Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis Madang.

    Beliau antara lain menekankan bahawa sembahyang itu sebagai tiang agama kerana di dalamnya segala rukun yang lima diulang-ulang sebanyak lima kali sehari semalam.

    “Sembahyang juga mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar, yang bererti selama mana kita sembahyang, kita dalam keadaan ketaatan,” ujarnya.

     

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bersama jemaah lain hadir pada program munajat. – Gambar serahan KHEU

          Malam Munajat minggu ini mengundang tetamu khas, Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari masjid berkenaan.

              Hadir sama ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman.

              Turut mengimarahkan acara malam tadi ialah ahli-ahli jawatankuasa takmir dan jemaah dari Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit; Masjid Kampung Penanjong, Tutong; dan Masjid Kampung Belais, Temburong; serta beberapa buah masjid termasuk surau dan balai ibadat dari seluruh negara berjumlah 67 buah, di samping warga kerja di bawah KHEU bersama keluarga dari kediaman masing-masing.

              Malam Munajat mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, meminta keampunan daripada Allah SWT dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat daripada segala bala bencana dan penyakit berbahaya.

              Orang ramai adalah dialu-alukan menyertai acara Malam Munajat pada setiap Sabtu malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheu atau https://www.facebook.com/pdi.kheu.

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda