Monday, September 23, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sembilan nelayan India dikhuatiri maut dalam insiden bot terbalik

    KOLKATA, 22 SEPT – Sembilan nelayan India dikhuatiri maut selepas bot pukat tunda mereka terbalik di Teluk Bengal semasa ribut, kata seorang pegawai kepada AFP hari ini.

    Bot pukat tunda itu telah berlepas dari Sundarbans di Bengal Barat pada Rabu dengan 17 kru di dalamnya, kata Surajit Bag, penolong pengarah perikanan di kerajaan negeri.

    Lapan orang berada di atas dek manakala sembilan lagi sedang tidur di kabin bawah apabila ribut melanda pagi kelmarin berhampiran pulau Bagher Char, katanya kepada AFP.

    “Bot pukat tunda itu dipukul ombak tinggi dan ia terbalik,” katanya.

    Sebuah bot pukat tunda lain menyelamatkan lapan orang di atas dek selepas mereka tercampak ke laut, katanya.

    “Walaupun pencarian dilakukan secara meluas, baki sembilan nelayan yang sedang tidur di bawah dek tidak dapat ditemui. Kami bimbang mereka sudah meninggal dunia.”

    Sebuah kapal Pengawal Pantai India telah menarik bot pukat tunda itu kembali ke darat, di mana mangsa yang terselamat berada dalam keadaan stabil, kata Bag. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda