Saturday, May 11, 2024
31.6 C
Brunei

    -

    ‘Seperti berada di bulan’

    SEPANYOL – Berlutut di pinggir kawah yang dalam, angkasawan Alexandert Gerst menggunakan pahat untuk mengumpulkan sampel batu gunung berapi yang diletakkannya dalam kantung plastik putih dengan cermat.

    Gerst bukan berada di bulan, walaupun ia kelihatan sepertinya.

    Dia berada di tengah-tengah Taman Semula Jadi Los Volcanes di pulau Lanzarote di Pulau Canary, Sepanyol, luar barat laut Afrika.

    Dengan medan lahar kawah dan tiub volkanik yang menghitam, geologi Lanzarote kelihatan hampir sama dengan bulan dan Marikh – oleh itu Agensi Angkasa Eropah (ESA) dan NASA selama bertahun-tahun telah menghantar angkasawan ke pulau itu untuk berlatih.

    “Tempat ini mempunyai lahar yang sangat serupa dengan yang kami temui pada bulan,” kata Gerst, angkasawan Jerman berusia 46 tahun bersama ESA, memberitahu AFP.

    Angkasawan Jerman, Alexander Gerst (kanan) mengutip batu di puncak gunung berapi purba semasa program latihan untuk mempelajari bagaimana menjelajah bulan dan Marikh di Taman Negara Timanfaya di pulau Canary, Lanzarote pada 10 November. – AFP
    Jurnalis mengambil gambar angkasawan dan ahli geologi dari Agensi Angkasa Lepas Eropah yang bekerja di puncak gunung berapi purba. – AFP

    Dia berkata pulau itu satu lapangan latihan yang unik.

    Gerst, yang menamatkan dua misi ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) adalah salah seorang daripada puluhan angkasawan yang menyertai kursus latihan Pangaea ESA di Lanzarote beberapa dekad lalu.

    Dinamakan sempena benua besar purba, Pangaea berusaha untuk memberi kemahiran kepada angkasawan dan jurutera serta ahli geologi untuk mengadakan ekspedisi ke planet lain.

    Para pelatih belajar bagaimana untuk mengenal pasti sampel batu dan mengumpulkannya, melakukan penganalisisan DNA mikroorganisma serta-merta dan berkomunikasi penemuan mereka dengan pusat kawalan misi.

    “Di sini, mereka ditempatkan ke lapangan untuk mengalami penerokaan rupa bumi, yang merupakan sesuatu perlu lakukan di bulan,” kata Francesco Sauro, pengarah teknikal kursus itu.

    Ledakan enam tahun

    Gerst berkata kursus latihan Pangaea, yang baru saja diselesaikannya, membantu kesediaan angkasawan untuk bekerja dalam suasana mereka sendiri.

    “Jika kami berdepan masalah, kami terpaksa untuk menyelesaikannya sendiri,” katanya.

    Dia menamatkan latihan Pangea bersama Stephanie Wilson, salah seorang angkasawan paling kanan NASA. Kedua-duanya merupakan calon untuk misi bulan NASA seterusnya.

    Dinamakan sempena dewi yang merupakan saudara kembar Apollo dalam mitologi purba Yunani, program Artemis NASA bertujuan mengembalikan angkasawan ke permukaan bulan seawal 2025, walaupun ramai pakar percaya jangka masa mungkin berubah.

    Seramai 12 angkasawan berjalan di bulan semasa enam misi Apollo dari tahun 1969 hingga 1972, satu-satunya penerbangan angkasa lepas yang belum menempatkan manusia di permukaan bulan.

    NASA dan ESA juga sering menggunakan landskap lahar berombak untuk menguji pesawat Mars Rover – kenderaan yang dikawal dari jauh direka untuk membuat perjalanan ke permukaan Planet Merah.

    Geografi unik Lanzarote berpunca daripada letusan gunung berapi yang bermula pada tahun 1730 dan berakhir enam tahun, memuntahkan debu dan lahar meliputi kawasan tanah yang luas.

    Dianggap bencana alam gunung berapi terbesar pernah dicatatkan dalam sejarah, ledakan itu memusnahkan lebih 200km persegi rupa bumi – sekitar suku daripada pulau itu yang pada masa ini rumah kepada kira-kira 156,000 orang.

    Dilihat lebih jauh

    Walaupun terdapat kawasan gunung berapi lain seperti Hawaii yang juga boleh digunakan untuk latihan angkasawan, Lanzarote mempunyai kelebihan kerana ia mempunyai sedikit tumbuh-tumbuhan disebabkan iklimnya seperti padang pasir.

    “Awda boleh menyaksikan banyak jenis batu gunung berapi yang berbeza di Lanzarote. Dan ia terdedah. Tidak mempunyai pokok,” kata ketua projek Pangea, Loredana Bessone.

    “Awda boleh melihat sejauhnya, seolah-olah bagai berada di bulan,” katanya kepada AFP.

    Kepulauan Canary memberi sumbangan besar kepada penerokaan angkasa lepas dengan cara lain juga. Pulau La Palma adalah rumah kepada salah satu teleskop optik terbesar di dunia.

    Terletak di puncak, Great Canary Telescope dapat mengesan beberapa objek paling samar dan paling jauh di alam semesta.

    La Palma dipilih sebagai tapak untuk teleskop kerana langitnya yang bebas awan dan pencemaran cahaya yang agak rendah. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bekas PM Fiji dipenjara salah guna kuasa

    SUVA, FIJI, 10 MEI - Bekas Perdana Menteri Fiji, Frank Bainimarama, dijatuhi hukuman penjara selama setahun hari ini atas kesalahan menghalang proses keadilan selepas...