Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Serangan balai polis: Menteri Kabinet zahir ucapan takziah

    KUALA LUMPUR, 17 MEI – Beberapa menteri Kabinet hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga dua anggota polis yang maut dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi tadi.

    Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menerusi Facebook rasminya hari ini memaklumkan pihaknya yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas berhubung insiden terbabit.

    “Saya ingin sampaikan ucapan takziah kepada keluarga Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, dua anggota polis yang meninggal dunia ketika menjalankan tugas akibat insiden serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram pada awal pagi tadi.

    “Semoga insiden serangan seperti ini tidak akan berulang lagi. Al-Fatihah,” menurut hantaran itu.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail turut terkejut dan sedih atas insiden itu dan mewakili warga kementerian mengutuskan salam takziah kepada keluarga dua anggota yang terkorban.

    “Saya juga mendoakan semoga afiyah dan kesembuhan segera buat Koperal Mohd Hasif Roslan yang mengalami kecederaan akibat ditembak,” menurut hantaran itu.

    Beliau yakin pihak polis sudah memulakan siasatan terperinci berhubung insiden itu dan mempertingkat aspek keselamatan pada tahap maksimum di semua lokasi yang berisiko.

    Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan seluruh warga agensi berkenaan menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga mangsa yang terlibat. – Bernama

    Kelihatan kakak sulung Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, bersama adiknya tidak dapat menahan sebak ketika ditemu ramah di kediamannya di Jalan Kampung Poh Tambahan 1, Kampung Poh. Beberapa menteri Kabinet menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga dua anggota polis yang maut dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor kelmarin.- Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda