Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Simposium tekan peranan HR dalam transformasi digital

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MEI – Peranan penting sumber tenaga manusia (HR) dalam transformasi digital telah diketengahkan semasa Simposium HR anjuran Institut Kepimpinan dan Kewangan Islam Brunei (BILIF) yang berlangsung di Mutiara Ballroom, Hotel Radisson Brunei Darussalam, hari ini.

    Menurut kenyataan BILIF, acara itu telah dihadiri oleh ahli profesional HR daripada sektor kerajaan dan swasta, di antaranya dari Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Datastream Digital Sdn Bhd (DST), Jerudong Park Medical Centre (JPMC) dan lain-lain.

    Bertemakan Adapting to the Future: Thriving in a Changing Work Environment, simposium itu antara lain mengetengahkan peranan penting HR dalam transformasi digital, mengamalkan budaya growth mindset serta meningkatkan kesejahteraan pekerja.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif BILIF, Haji Afero Eswandy bin Haji Mohamad, menekankan perubahan landskap HR yang signifikan seperti pekerjaan jarak jauh yang didorong oleh peristiwa global dan persaingan dalam pasaran kerja yang sengit.

    Perubahan-perubahan itu menyebabkan para profesional HR menghadapi tugas-tugas yang semakin rumit.

    Antara yang hadir semasa simposium berkenaan. – GAMBAR SERAHAN BILIF

    Oleh itu, beliau berharap bahawa acara tersebut akan membolehkan peserta mendapat manfaat daripada perbincangan yang bermakna bagi menyumbang kepada perkembangan dan kejayaan organisasi masing-masing secara berkesan.

    Ketua Pegawai Eksekutif BILIF, Hajah Sufinah binti Haji Sahat dalam pembentangan ucaptamanya menyentuh mengenai cabaran dan peluang dalam landskap kerja yang terus mengalami perubahan.

    Beliau turut menekankan peranan penting ahli profesional HR dalam menangani perubahan dan pengaruh teknologi yang semakin mencabar bagi tenaga kerja masa depan dengan membina ketahanan dan ketangkasan serta memperkasakan pekerja.

    Acara diikuti dengan pembentangan bertajuk The Role of Storytelling in Change Management yang disampaikan oleh Wakil dan Master Facilitator bagi Society for Human Resource Management (SHRM) Asia Tenggara, Tham Chien Ping.

    Acara kemudian diteruskan dengan perbincangan panel bertajuk Fostering Continuous Growth: Embracing a Growth Mindset Culture yang dikendalikan oleh Pengurus BILIF, Julius Hong bersama ahli panel yang terdiri daripada Haji Afero Eswandy; Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Malaysia Airlines, Dato’ Mohd Khalis Abdul Rahim; Pengasas dan Presiden Persatuan Sumber Manusia Brunei, Hajah Zainab binti Haji MA Omar; dan Ketua Organisasi dan Perancangan Tenaga Manusia BIBD, Awang Mohammad Najib bin Haji Annuar.

    Acara diteruskan dengan pembentangan khas yang bertajuk Harnessing Technology for Talent Management in the Digital Era yang disampaikan oleh Dato’ Mohd Khalis Abdul Rahim.

    Ia kemudiannya disusuli dengan perbincangan panel kedua bertajuk Elevating Employee Wellbeing: Prioritising People in the Workplace yang dikendalikan oleh Pengurus Kanan BILIF, Dayang Ida Nazrena binti Haji Bujang, di mana ia menampilkan ahli panel iaitu Ketua Sumber Manusia, Bank Standard Chartered (StanChart) Brunei, Laila Li; Pengarah Eksekutif WorkWell Leaders, Singapura, Bob Grove; Rakan Kongsi Urusan Energem Advisory, Malaysia, Prashant Chadha; dan Tham Chien Ping.

    Acara diakhiri dengan perbincangan panel ketiga bertajuk Future-Ready Skills: Bridging the Gap through Upskilling and Reskilling yang dikendalikan oleh Pengurus Kanan BILIF, Dayang Nur Rizqin binti Haji Sabri; dan Pengurus Pembangunan Modal Insan Kanan Darussalam Assets Sdn Bhd, Awang Mohammad Salehin bin Haji Basir; Ketua Pegawai Sumber Kumpulan dan Naib Presiden Eksekutif Sumber Manusia TDCX, Malaysia, Lim Chee Gay; serta Konsultan Pembangunan Insan SMR HR Group Sdn Bhd, Malaysia, Karen Ong.

    Dengan kejayaan yang memberangsangkan ini, simposium tersebut menggariskan komitmen BILIF untuk mempertingkatkan kecemerlangan HR dan memupuk platform dinamik bagi pertukaran pengetahuan dan pembangunan profesional.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda