Thursday, March 13, 2025
27.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sindrom terowong karpus ubah kehidupan secara senyap

    KUALA LUMPUR – Melakukan rutin harian tanpa memikirkan bagaimana pergerakan berulang-ulang seperti menggunakan papan kekunci dan tetikus, menatal skrin telefon, penggunaan alatan bergetar dalam pekerjaan atau melaksanakan kerja rumah sebenarnya menyumbang kepada risiko kesihatan yang tersembunyi dan mengakibatkan keadaan seperti sindrom terowong karpus atau carpal tunnel syndrome kepada sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur.

    Sindrom terowong karpus berlaku apabila saraf median yang terletak di dalam terowong karpal (ruang sempit dari lengan bawah ke telapak tangan) dimampatkan, dengan gejala biasa termasuk lemah menggenggam objek, berserta kesakitan, kebas atau semut-semut, yang biasanya berpunca daripada pergerakan berulang yang kerap dilakukan oleh tangan.

    Pakar Perunding Bedah Ortopedik, Trauma dan Sukan, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Raymond Yeak Dieu Kiat dalam kenyataan berkata pemerhatian epidemiologi ini menunjukkan perkaitan antara sindrom terowong karpus dengan aktiviti harian.

    “Faktor lain seperti penyakit sendi atau tulang, perubahan hormon atau metabolik dan turun naik paras gula, turut menyumbang kepada pembentukan sindrom terowong karpus.

    Keradangan artritis boleh menyebabkan lapisan perlindungan pada pelbagai tendon di dalam terowong karpus pergelangan tangan menebal yang kemudian mengurangkan ruang terhad di dalam terowong karpus sekali gus memberi tekanan ke atas saraf median.

    Dr Raymond mengatakan pelbagai faktor boleh menyebabkan sindrom terowong karpus dengan aktiviti harian. – Agensi
    Untuk mengelakkan berlakunya sindrom terowong karpus, pergerakan tangan berulang seperti penggunaan telefon bimbit, papan kekunci dan tetikus perlu dihadkan.
    Dr Raymond menyarankan agar mengurangkan pergerakan tangan berulang seperti mengehadkan penggunaan telefon bimbit dan berehat serta melakukan senanam regangan lembut.

    “Tambahan pula, selain itu, kencing manis juga boleh mengakibatkan neuropati, yang bermaksud walaupun sedikit penyempitan pada terowong karpus boleh mendatangkan impak signifikan kepada pesakit diabetes, membawa kepada sindrom terowong karpus simptomatik,” katanya.

    Lakukan senaman, kurangkan gerakan berulang

    Justeru, Dr Raymond menyarankan agar mengurangkan pergerakan tangan berulang seperti mengehadkan penggunaan telefon bimbit dan berehat, bagi mengelakkan berlakunya sindrom terowong karpus dan jari picu atau trigger finger iaitu satu lagi penyakit bukan traumatik yang semakin kerap berlaku.

    Beliau menambah senaman regangan lembut ketika waktu rehat boleh mengurangkan kekakuan dan membantu meningkatkan pergerakan bahagian terlibat.

    Sementara itu, Dr Raymond berkata pilihan rawatan adalah mengikut kes individu, yang pertama ialah splinting dan ini melibatkan penggunaan splint atau penyokong pergelangan tangan neutral dengan bar logam yang mengehadkan pergerakan pergelangan tangan, namun membolehkan pergerakan jari.

    “Dengan merehatkan saraf median, splinting boleh membantu mengurangkan bengkak dan membantu pemulihan kerosakan saraf ringan sehingga sederhana, dengan splint boleh dipakai ketika tidur dan sekerap mungkin sepanjang hari,” katanya sambil menambah satu lagi rawatan ialah menerusi fisioterapi yang melibatkan senaman untuk meningkatkan julat pergerakan pergelangan tangan dan jari, dan menguatkan bahagian yang terkesan.

    Pengambilan ubat-ubatan juga boleh dipertimbangkan. Suntikan ubat tahan sakit mengandungi gabungan steroid dan ubat bius, ke sekeliling saraf median mungkin boleh membantu sesetengah pesakit, namun Dr Raymond menegaskan bahawa preskripsi steroid ketika mengandung patut dielakkan untuk mencegah kesan sampingan.

    Ramai wanita terjejas

    Selain individu yang pernah mengalami kecederaan pergelangan tangan, terseliuh, terkehel atau keradangan lebih terdedah kepada sindrom terowong karpus, Pakar Perunding Pembedahan Ortopedik, Trauma dan Ortopedik Pediatrik SMCV, Dr Maria Shelynn Wong pula memaklumkan penyakit itu cenderung menjejaskan lebih ramai wanita berbanding lelaki, dengan kehamilan menjadi faktor penyumbang ketara.

    Beliau berkata walaupun kira-kira 4 peratus dewasa dalam populasi umum terjejas dengan sindrom terowong karpus, kelaziman gejala dalam kalangan wanita hamil dianggarkan antara 31 hingga 62 peratus.

    “Semasa mengandung, setiap bakal ibu mengalami peningkatan dua kali ganda jumlah darah. Akibatnya, cecair tambahan meningkatkan tekanan menyebabkan pembengkakan pada saluran darah di seluruh badan. Dalam kawasan sempit seperti terowong karpus pada pergelangan tangan, bengkak itu boleh memampatkan saraf median, berkemungkinan menyebabkan sindrom terowong karpus.

    “Mujurlah, selepas melahirkan anak, gejala sindrom terowong karpus biasanya berkurangan kerana paras cecair kembali normal dan mengurangkan tekanan tambahan pada saluran darah. Bagaimanapun, ibu mengandung dinasihatkan berjumpa doktor jika mengalami gejala seperti terowong karpus pada tangan mereka,” katanya.

    Beliau turut menyarankan para ibu supaya sentiasa berwaspada terhadap kesihatan pergelangan tangan mereka walaupun selepas melahirkan kerana kekerapan mengangkat anak damit dan melakukan gerakan yang berulang-ulang berpotensi menyumbang kepada tendinopati yang disebabkan oleh penggunaan berlebihan.

    Berisiko alami jari picu

    Dr Maria turut berkongsi mereka yang menghidap sindrom terowong karpus mungkin berisiko untuk mengalami jari picu, secara saintifknya dirujuk sebagai stenosing tenosynovitis of the flexor tendons, yang berlaku pada jari atau jari tersekat, menyebabkan kesakitan dan keketatan yang digambarkan sebagai perasaan mengetik atau menangkap apabila membuka dan menutup jari, yang membawa ketidakselesaan.

    “Satu daripada punca utama jari picu ialah pergerakan berulang-ulang seperti memulas, memicit, menggenggam atau aktiviti tangan yang kuat, selain keadaan perubatan seperti diabetes dan artritis reumatoid yang berpotensi menyumbang kepada perkembangannya.

    “Sama seperti sindrom terowong karpus, ibu mengandung juga terdedah kepada jari picu disebabkan pengekalan cecair dan pembengkakan ketika hamil. Akhir sekali, jari picu kerap diperhatikan pada individu lebih tua dan jarang terjadi pada kanak-kanak, tetapi terdapat keadaan yang jarang berlaku dipanggil congenital trigger thumb yang menyebabkan lenturan terkunci pada ibu jari anak damit,” katanya.

    Dr Maria berkata selain warga emas, suri rumah yang melakukan pergerakan mencengkam dan menggenggam peralatan dapur dan alatan pembersihan serta menjahit, mengait dan mencuci pakaian, dan individu yang kerja atau hobinya melibatkan kerja berulang-ulang menggunakan tangan, tugasan menaip atau cengkaman berpanjangan, turut berisiko tinggi untuk mengalami jari picu.

    “Namun begitu, terdapat langkah-langkah pencegahan dan pilihan rawatan seperti yang dinyatakan sebelum ini,” katanya.

    Secara ringkas, sindrom terowong karpus menjejaskan individu semua peringkat umur dan sering dipengaruhi oleh tabiat harian.

    Dengan memupuk kesedaran tentang potensi risiko dikaitkan dengan pergerakan tangan berulang kali, langkah pencegahan boleh diambil untuk mengelak dan menguruskan keadaan dengan berkesan seperti sindrom terowong karpus dan jari picu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda