Thursday, September 19, 2024
34.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sinner perkenal 2 jurulatih baharu

    MONACO, 17 SEPT – Jannik Sinner, juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), memperkenalkan jurulatih kecergasan dan ahli fisioterapi baharunya kelmarin selepas memecat kakitangan terdahulu kerana terlibat dalam kes doping.

    Marco Panichi dilantik sebagai jurulatih kecergasan baharu, manakala Ulises Badio menjadi ahli fisioterapi pasukan. Kedua-duanya sebelum ini pernah bekerja dengan Novak Djokovic.

    Sinner juga masih mengekalkan Andrea Cipolla sebagai ahli osteopati dalam pasukannya.

    “Selamat datang ke dalam pasukan, Marco dan Ulises,” tulis Sinner di Instagram disertakan gambar bersama jurulatih baharunya.

    Sebelum ini, Sinner telah didapati positif steroid sebanyak dua kali pada bulan Mac tetapi tidak dikenakan penggantungan setelah disahkan bahawa bahan terlarang Clostebol memasuki sistem tubuhnya secara tidak sengaja melalui urutan oleh ahli fisioterapi terdahulunya, Giacomo Naldi.

    Menurut Sinner, bekas jurulatih kecergasannya, Umberto Ferrara, membeli semburan mengandungi steroid untuk merawat luka pada jari Naldi dan dia kemudian
    merawat Sinner tanpa memakai sarung tangan.

    Kes doping itu dirahsiakan sehingga pengumuman bulan lalu, namun Sinner terus mencipta kejayaan dengan menewaskan Taylor Fritz di perlawanan akhir Terbuka AS.

    Sinner telah mengumumkan sebelum kejohanan Terbuka AS bahawa dia telah memecat Naldi dan Ferrara.

    Panichi dan Badio secara rasmi memulakan tugasan mereka bersama Sinner di Monaco kelmarin dan akan mengikuti juara Grand Slam dua kali itu ke kejohanan seterusnya di Beijing dan Shanghai. – AP

    Reaksi Jannik Sinner selepas memenangi perlawanan menentang Taylor Fritz di New York pada 8 September lalu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda