Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    SK Hynix catat keuntungan tertinggi dalam enam tahun

    SEOUL, 25 JULAI – Gergasi semikonduktor Korea Selatan, SK Hynix melaporkan keuntungan suku terbaik dalam enam tahun hari ini disebabkan permintaan global yang melonjak untuk kecerdasan buatan (AI), namun sahamnya merosot bersama firma teknologi lain selepas jualan besar-besaran di Wall Street.

    Pembuat cip memori kedua terbesar di dunia itu menguasai pasaran semikonduktor memori jalur lebar tinggi (HBM) dan merupakan pembekal utama untuk Nvidia, yang mengawal kira-kira 80 peratus pasaran cip AI global.

    SK Hynix mencatatkan keuntu-ngan operasi sebanyak 5.47 trilion won (AS$3.96 bilion) pada April hingga Jun, keuntungan suku tahunan ketiga berturut-turut selepas kerugian tahun lalu.

    Keuntungan bersih melonjak 115 peratus tahun ke tahun kepada 4.12 trilion won dan pendapatan meningkat 125 peratus kepada 16.42 trilion won rekod tertinggi suku tahunan.

    Syarikat tersebut berkata peningkatan berterusan dalam harga keseluruhan produk DRAM dan NAND dengan permintaan kukuh untuk memori AI termasuk HBM mendorong peningkatan sebanyak 32 peratus dalam pendapatan berbanding suku sebelumnya.

    Pendapatan untuk cip HBM meningkat lebih 80 peratus berbanding suku sebelumnya dan 250 peratus tahun ke tahun.

    “Syarikat itu akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam produk memori AI dengan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi proses terbaik dan produk berprestasi tinggi berdasarkan struktur kewangan yang stabil,” kata Ketua Pegawai Kewangan, Kim Woo-hyun.

    Bagaimanapun, saham syarikat itu merosot lebih lapan peratus, penurunan terbesar dalam sehari sejak November 2022.

    Manakala Samsung Electronics merosot lebih dua peratus. Penurunan itu adalah sebahagian daripada kemerosotan lebih luas dalam saham teknologi selepas sektor itu mengalami kerugian di Wall Street sebagai reaksi terhadap pendapatan yang mengecewakan daripada Tesla dan firma induk Google, Alphabet. – AFP

    Logo SK Hynix dilihat di luar pejabat syarikat Bundang di Seongnam pada 26 Januari lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda