Friday, October 11, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sokong pelajar keperluan khas melalui aktiviti memasak

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Bank Standard Chartered (StanChart) melalui pasukan CRES (Perkhidmatan Hartanah Korporat) telah menganjurkan aktiviti memasak bersama pelajar-pelajar keperluan khas daripada La Vida Brunei, sebuah organisasi bukan untung tempatan yang memberi sokongan kepada individu istimewa.

    Acara itu diadakan pada 26 September lalu di Ibu Pejabat Bank StanChart, Bandar Seri Begawan.

    Sepanjang aktiviti tersebut, pelajar-pelajar berpeluang menyediakan makanan mereka sendiri dengan bimbingan daripada kakitangan sukarelawan, membina interaksi dan kerjasama antara mereka. Para pelajar gembira membuat salad buah, piza roti dan berpeluang menyediakan minuman milkshake yang lazat. Pengalaman itu bukan sahaja membantu mereka mempelajari kemahiran memasak tetapi juga menggalakkan interaksi sosial antara pelajar dan sukarelawan.

    Hadir pada acara tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bank StanChart, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim, yang juga turut serta bersama pelajar-pelajar dan ahli pengurusan lain dengan memberikan sokongan sepanjang aktiviti itu berlangsung.

    Dalam ucapannya, Pengiran Aki Ismasufian menyatakan, “Aktiviti memasak hari ini adalah peluang yang indah untuk kami berhubung dengan individu yang mempunyai keperluan berbeza. Di StanChart, kami percaya kepada kepelbagaian dan kesan positif yang boleh kita capai bersama.

    “Sangat memberi inspirasi melihat para pekerja kami sukarela meluangkan masa dan kemahiran mereka untuk memperkasakan individu-individu berbakat ini.”

    Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada program Follow the Sun, Good Deeds Day, yang berada di bawah Program Kesukarelawanan Pekerja.

    Program itu menekankan kepentingan memberi sumbangan kepada masyarakat dan membuat perubahan.

    Para pelajar berpeluang menyediakan makanan mereka sendiri dengan bimbingan daripada kakitangan sukarelawan. – GAMBAR SERAHAN STANCHART
    GAMBAR SERAHAN STANCHART
    GAMBAR SERAHAN STANCHART
    GAMBAR SERAHAN STANCHART
    GAMBAR SERAHAN STANCHART

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda