DALLAS, 1 DIS – Southwest Airlines mengumumkan untuk menamatkan perkhidmatan kabin lebih awal dalam penerbangan, memerlukan penumpang melakukan prosedur pra-pendaratan biasa seperti memastikan tali pinggang keledar mereka diikat dan kembali ke tempat duduk dalam keadaan tegak.
Mulai 4 Disember, kru penerbangan akan mula mempersiapkan kabin untuk mendarat pada ketinggian 5,486 meter, lebih awal daripada prosedur sebelumnya pada ketinggian 3,048 meter.
Menurut jurucakap syarikat tersebut, perubahan itu bertujuan untuk “mengurangkan risiko kecederaan akibat pergolakan udara semasa penerbangan” bagi kru dan penumpang.
Walaupun kematian akibat pergolakan udara jarang berlaku, tetapi kecederaan yang disebabkan oleh pergolakan udara telah meningkat sepanjang tahun kebelakangan ini.
Lebih satu pertiga daripada semua kejadian penerbangan di Amerika Syarikat antara tahun 2009 hingga 2018 berkaitan dengan pergolakan udara dan kebanyakan kes melibatkan kecederaan serius tanpa ada kerosakan pada pesawat, menurut Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB).
Pada Mei, seorang lelaki berusia 73 tahun meninggal dunia semasa penerbangan Singapore Airlines selepas pesawat terkena pergolakan udara teruk di atas Lautan Hindi.
Syarikat penerbangan itu juga mengumumkan perubahan lain yang akan dilaksanakan pada tahun depan, iaitu menghapuskan tradisi “tempat duduk terbuka” yang telah wujud selama lebih setengah abad, di mana penumpang memilih tempat duduk mereka selepas menaiki pesawat. – AP