Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    SpaceX tangguh lagi pelancaran misi bersejarah Polaris Dawn

    PUSAT ANGKASA KENNEDY, 28 OGOS — SpaceX menangguhkan sekali lagi pelancaran misi Polaris Dawn, yang melibatkan semua kru awam untuk melaksanakan aktiviti berjalan di angkasa lepas pertama oleh warga awam, yang dijadualkan berlepas dari Pusat Angkasa Kennedy NASA di Florida, hari ini.

    Menurut kenyataan SpaceX di platform media sosial X kelmarin, penangguhan itu disebabkan oleh ‘ramalan cuaca yang buruk di kawasan pendaratan kapsul Dragon di luar pantai Florida’.

    Percubaan pelancaran awal kelmarin juga dibatalkan disebabkan kebocoran helium dalam saluran yang menghubungkan menara pelancaran dengan roket.

    Kapal Dragon, yang akan dilancarkan menggunakan roket Falcon 9, dijangka mencapai altitud maksimum 1,400 kilometer, menjadikannya misi kru tertinggi sejak era Apollo.

    Ketua misi, Jared Isaacman akan memimpin pasukan yang terdiri daripada empat anggota dalam aktiviti berjalan pertama di angkasa lepas menggunakan sut aktiviti luar angkasa (EVA) yang baru dibangunkan oleh SpaceX.

    Roket SpaceX Falcon 9 yang dilengkapi dengan kapsul kru Dragon Resilience di Kompleks Pelancaran 39A, Pusat Angkasa Kennedy di Cape Canaveral, Florida pada 27 Ogos. – AFP

    Selain Isaacman sebagai komander misi, kru tersebut terdiri daripada juruterbang misi, Scott Poteet, bekas leftenan kolonel Tentera Udara Amerika Syarikat; pakar misi Sarah Gillis, jurutera operasi angkasa utama di SpaceX; dan Anna Menon, pakar misi serta pegawai perubatan, juga jurutera operasi angkasa utama di SpaceX.

    Pasukan itu telah menjalani latihan intensif selama lebih dua tahun, termasuk latihan menggunakan simulator, terjun udara, latihan sentrifugal, selam skuba dan mendaki gunung berapi di Ecuador.

    Misi Polaris Dawn dijangka menjadi yang pertama daripada tiga misi di bawah program Polaris, yang merupakan kerjasama antara Isaacman, pengasas syarikat teknologi Shift4 Payments, dan SpaceX.

    Misi itu bertujuan memajukan penerokaan angkasa lepas oleh orang awam serta menguji pelbagai teknologi angkasa yang baharu.

    Issacman engan mendedahkan jumlah pelaburan dalam projek itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda