Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sri Lanka benarkan kapal China jalankan penyelidikan

    COLOMBO, 29 OKT – Sri Lanka telah memberikan masa 48 jam kepada sebuah kapal China untuk menjalankan penyelidikan marin di luar pantai barat pulau itu di bawah pengawasan, kata kementerian luar negara hari ini, walaupun terdapat kebimbangan dari India bahawa ia boleh menjadi kapal pengintip.

    Jurucakap kementerian, Kapila Fonseka berkata kapal penyelidikan China, Shi Yan 6, yang berada di Colombo sejak Rabu, akan dibenarkan menjalankan kerja selama dua hari mulai Isnin.

    Terdahulu, Sri Lanka membenarkan kapal itu memasuki pelabuhan utama Colombo hanya untuk pengisian semula atas kebimbangan yang dibangkitkan oleh negara jiran, India bahawa kapal itu boleh digunakan untuk aktiviti pengintipan terhadap mereka.

    New Delhi curiga dengan kehadiran China yang semakin meningkat di Lautan Hindi dan pengaruhnya di Sri Lanka, yang terletak secara strategik di pertengahan (laluan perkapalan antarabangsa yang utama dari timur-barat).

    Kapal pengesan angkasa lepas China tahun lalu menimbulkan kebimbangan keselamatan dari India, dan Sri Lanka melarangnya daripada menjalankan sebarang aktiviti penyelidikan semasa berada di perairannya.

    Gambar AP

    Fonseka berkata ahli saintis tempatan akan berada di atas kapal Shi Yan 6 selama dua hari aktiviti penyelidikan di sepanjang pantai barat pulau itu.

    “Selain ahli saintis dan penyelidik kami, tentera laut Sri Lanka juga akan memantau kapal ini,” kata Fonseka kepada AFP.

    Kapal sepanjang 90 meter itu berlabuh di pelabuhan Colombo di mana sebuah syarikat milik kerajaan China mengendalikan terminal laut dalam.

    Dua buah kapal selam China berlabuh di sana pada 2014, yang menimbulkan protes dari India.

    Tiada sebarang komen segera daripada kedutaan China atau India di Sri Lanka selepas Colombo memberikan kelulusan terhadap Shi Yan 6 dengan kebenaran yang terhad. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda