Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suspek pembunuhan dua wanita tahun 1977 dibawa balik ke Australia

    SYDNEY, 4 DIS – Seorang lelaki yang dikaitkan dengan dua kes pembunuhan kejam yang tidak diselesaikan sejak tahun 1977 telah diekstradisi dari Itali dan dijadual dihadapkan ke mahkamah di Australia hari ini, menurut polis.
     
    Perry Kouroumblis, 65, telah didakwa atas pembunuhan dua wanita dalam kes berusia hampir lima dekad lamanya, yang dikenali sebagai ‘Pembunuhan Easey Street.’
     
    Warga Australia-Yunani itu ditahan di Lapangan Terbang Leonardo da Vinci, Rom pada September, selepas namanya dimasukkan ke dalam notis merah Interpol. Sejak itu, dia telah ditahan di penjara.
     
    Menurut Polis Victoria, suspek dihantar pulang ke Australia semalam dan akan disoal siasat oleh detektif sebelum dihadapkan ke mahkamah hari ini.
     
    “Suspek akan secara rasmi didakwa atas dua pertuduhan membunuh dan satu pertuduhan merogol dalam prosiding mahkamah tersebut,” kata polis dalam satu kenyataan.
     
    Mayat Suzanne Armstrong, 27, dan Susan Bartlett, 28, ditemui di rumah mereka di Easey Street, Melbourne pada 13 Januari 1977, dengan beberapa luka tikaman.Armstrong turut dilaporkan telah dirogol, manakala anak lelakinya yang berusia 16 bulan ditemui selamat di dalam katil anak damit.
     
    “Ia adalah pembunuhan yang sangat kejam, mengerikan dan penuh keganasan, dengan beberapa tikaman,” kata Pesuruhjaya Ketua Polis Victoria, Shane Patton, selepas penahanan suspek pada September.
     
    Pada tahun 2017, pasukan detektif mula menjalankan ujian DNA terhadap puluhan suspek yang pernah disoal siasat dalam siasatan awal kes tersebut.
     
    Kouroumblis didakwa berpindah ke Greece tidak lama selepas beliau diminta memberikan sampel DNA. – AFP
    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda