Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tajul terkilan dituduh tak bagi kerjasama berhubung kes kemalangan rakan

    Penyanyi Malaysia, Tajul Arif sudah memberikan keterangan kepada polis berhubung kemalangan membabitkan rakannya iaitu Allahyarham Megat Muhammad Thaqief, 24, yang berlaku di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) pada tengah malam 24 April lalu.

    Memetik laporan mStar, Tajul atau nama sebenarnya Tajul Ariff Noor Md. Shari, 34, bagaimanapun menyangkal dakwaan beliau enggan menjadi saksi berhubung kejadian itu seperti yang didakwa segelintir netizen.

    Terkilan dengan tuduhan tersebut, Tajul menjelaskan beliau sudah memberi keterangan di Balai Polis Nilai, Negeri Sembilan pada 17 Mei lalu selepas mendapat panggilan daripada pihak berkuasa.

    “Saya sudah beri keterangan… khabar kata saya tak bantu siasatan itu tidak benar sebab ketika itu polis belum hubungi saya untuk beri keterangan.

    “Saya dapat panggilan pada Khamis malam dan Jumaat tengah hari saya pergi ke balai beri keterangan,” katanya kepada mStar.

    Kata Tajul, ketika kejadian beliau berada di belakang arwah dan tidak dapat melihat insiden tersebut dengan jelas.

    Malah semasa kejadian beliau ada memberikan bantuan kecemasan selain membantu menguruskan sehingga sehingga jenazah dikebumikan.

    “Ketika kejadian dia di depan dan saya di belakang… berlaku terlalu cepat sangat. Tahu-tahu saja sudah berasap. Saya pun tak sangka itu dia.

    “Saya yang menghubungi ambulans dan emak arwah untuk beritahu kemalangan yang menimpa anaknya itu. Kami semua tak tidur sehinggalah jenazah dikebumikan keesokannya,” katanya lagi.

    Berkongsi mengenai perkenalannya bersama Allahyarham, Tajul berkata beliau tidak begitu rapat memandangkan baharu dua kali bertemu dengannya.

    “Saya tak kenal sangat dengan arwah tetapi tahu namanya daripada rakan-rakan dalam kumpulan konvoi bermotosikal.

    “Konvoi ke Roti John di Senawang merupakan pertemuan kedua kami,” kongsinya.

    Sebelum ini, bapa arwah iaitu Presiden Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (Irama), Ayob Abdul Majid meminta seorang artis lelaki tampil memberikan kerjasama kepada polis berhubung kemalangan membabitkan anaknya itu. – Agensi

    Tajul sempat beri bantuan semasa kemalangan. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda