ADDIS ABABA, 6 OGOS – Tanah susur telah meragut sekurang-kurangnya 11 nyawa di selatan Etiopia kelmarin, tidak jauh dari lokasi bencana yang serupa bulan lalu, menurut pihak berkuasa tempatan.
Sebelas mayat telah ditemui di daerah Kawo Koisha di zon pentadbiran Wolaita, dan operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan, kata Jabatan Hal Ehwal Komunikasi Kerajaan Zon Wolaita dalam satu kenyataan di Facebook.
Mereka memberikan amaran bahawa jumlah kematian mungkin akan meningkat.
Kawasan itu terletak di timur laut Kencho Shacha Gozdi, juga di negeri wilayah Etiopia Selatan, yang dilanda tanah susur pada 21 dan 22 Julai dan mengorbankan lebih 250 orang dan menjejaskan beberapa ribu yang lain.
Beberapa siri tanah susur telah berlaku di selatan Etiopia baru-baru ini akibat hujan lebat bermusim.
Kira-kira seminggu selepas tragedi Kencho Shacha, enam orang terbunuh di daerah Gishere di negeri wilayah Sidama yang berjiran, kata pegawai tempatan.
Dalam laporannya mengenai tanah susur Kawo Koisha, media gabungan kerajaan Fana Broadcasting Corporate berkata pihak berkuasa wilayah Etiopia Selatan telah mengeluarkan amaran mengenai risiko banjir dan tanah susur serta menggesa penduduk untuk mengambil langkah berjaga-jaga. – AFP