Thursday, January 2, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tarian tradisional Laos diiktiraf warisan UNESCO

    VIENTIANE, 29 DIS – Pada 31 Disember ini, seluruh rakyat Laos akan berkumpul di Taman Patuxay bagi meraikan pengiktirafan tarian Lamvong sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO.

    Acara tersebut yang dijadual berlangsung dari jam 10 malam hingga tengah malam, dianjurkan oleh Jabatan Informasi, Budaya, dan Pelancongan Vientiane dengan kerjasama Kementerian Informasi, Budaya dan Pelancongan.

    Tarian Lamvong akan menjadi acara utama, di mana peserta yang ingin menyertainya perlu berpasangan dengan individu berlainan jantina.

    Ketua Jabatan Informasi, Budaya, dan Pelancongan Vientiane, Viengphone Keokhounsi, berkata acara itu bertujuan untuk meraikan pengiktirafan UNESCO sambil mempromosikan budaya dan pakaian tradisional Laos.

    “Acara ini menonjolkan kepentingan pakaian tradisional dan budaya Laos serta meraikan pengiktirafan global terhadap tarian Lamvong,” katanya.

    “Ia juga memberi penghormatan kepada budaya pakaian tradisional daripada 50 kumpulan etnik di Laos,” tambahnya.

    Selain itu, pameran khas turut diadakan dengan menampilkan model berskala besar sijil UNESCO bagi senarai Warisan Dunia untuk tarian Lamvong, muzik khaen, dan motif tenunan Naga.

    Tarian Lamvong, yang diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO pada 5 Disember, berasal daripada komuniti petani sederhana di Laos sebagai cara untuk meraikan musim menuai.

    Secara tradisional, penduduk kampung menari mengelilingi seberkas padi sebagai tanda penghormatan. Istilah Lamvong sendiri berasal daripada gabungan perkataan lam (tarian) dan vong (bulatan). – ANN/Vientiane Times

    Tarian tradisional Lamvong diamalkan secara meluas dalam kalangan rakyat Laos. – ANN/Vientiane Times
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda