Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tegakkan isu kesihatan lelaki melalui aktiviti bermotosikal

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – Lebih 100 penunggang motosikal telah menyertai acara tahunan Distinguished Gentlemen’s Ride (DGR) 2024 yang bermula di Jerudong dan berakhir di Jerudong Food Court, hari ini.

    DGR merupakan acara amal bermotosikal global sejak 2012 di Australia dengan matlamat untuk menyerlahkan motosikal, fesyen dan cita-cita DGR, selain menunjukkan kepada dunia bahawa penunggang motosikal tidak menimbulkan masalah di jalan raya, tetapi mereka menunggang bersama untuk mengumpul dana dan kesedaran demi tujuan yang benar-benar penting.

    Acara yang disambut di seluruh dunia itu telah mengumpulkan lebih AS$40 juta untuk kesihatan lelaki sejak ia bermula.

    Penganjur acara berkenaan, Awang Azim Ghani ketika ditemui berpendapat bahawa DGR adalah acara istimewa yang diadakan setahun sekali dan disertai oleh ribuan orang di seluruh dunia di mana dana dan kesedaran untuk kesihatan mental lelaki dan penyelidikan kanser prostat dikumpulkan.

    Menurutnya, motivasi untuk mengumpulkan dana bagi kesihatan lelaki datang setelah mengetahui bahawa isu kesihatan lelaki sering diabaikan.

    Gambar ramai peserta semasa di Jerudong sebelum memulakan perjalanan. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    “Kami ingin meningkatkan kesedaran penting bukan sahaja untuk individu yang sedang menderita, tetapi bagi rakan dan keluarga yang terlibat secara tidak langsung,” jelasnya.

    Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat atas usaha mengumpul dana terutama penaja iaitu JPCC Sean Speed Shop, Nadzri Presents, Chaps & Rebels, Otto Takeway, RECS helmets, B HM Autohaus! dan Anpuan design.

    Selain itu, beliau turut mengongsikan bahawa seramai 113 orang penunggang menyertai acara berkenaan dan telah berjaya mengumpul lebih daripada AS$1,199 untuk kanser prostat dan kesihatan mental lelaki bagi pihak rakan kongsi amal, Movember.

    Tiga penyumbang teratas untuk acara tahun ini ialah Awang Zulhilmi Omar yang telah berjaya mengumpulkan AS$389, Dayang Fauziah binti Ahmad Jawawi (AS$270) dan Matthew Atkinson (AS$52).

    DGR Brunei bermula dengan hanya 10 penunggang ketika ia mula diperkenalkan pada 2014, kemudian meningkat kepada 54 penunggang pada tahun seterusnya dan terus meningkat dalam beberapa tahun berikutnya sehingga seramai 191 orang pada 2023.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda