Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Telur sebiji

    (Siri 3)

    Oleh Dino MN –

    Riuh sekampung. Begitulah kisah hebat yang berlaku di kampung seberang itu. Ceritanya meniti dari mulut ke mulut.

    Dari anak kecil ke anak kecil, dari remaja ke remaja, dari orang dewasa ke orang dewasa, dari mulut bapa meniti ke mulut bapa-bapa yang lain, dari nenek datu ke nenek datu yang lain, semua bercerita keriuhan yang luar biasa yang berlaku di kampung seberang itu.

    “Kalau ikut cerita jamuannya cukup murah.

    “Saya dengar cuma 15 sen saja.

    “Dari mulut kawan aku, katanya dia dengar berita tentang peristiwa itu dari mulut kawannya, berlaku kerusuhan,” katanya.

    Gambar Freepik

    “Kurang satu empat puluh orang yang luka-luka akibat kerusuhan.

    “Kenapa?” tanya salah seorang daripada mereka.

    “Sebab bantahan hidangan yang dikatakan luar biasa.

    “Apa yang luar biasa tu?

    “Kata orang di sana yang ikut hadir di jamuan itu, makan nasi sama kuah telur sebiji.

    “Macam mana? Cukupkah?

    “Pasal itu terjadi kerusuhan kerana tidak puas hati. Kerana marah, semua orang melemparkan piring kaca berserta gelas.

    “Patutlah tu,” kata seorang dari mereka.

    Dalam berita di surat khabar ada melaporkan kejadian tersebut.

    Tujuh buah surat khabar semuanya melaporkan kejadian rusuhan itu. Kesemua surat khabar hari itu laris persis cucur pisang. Ada orang yang tidak kebahagian, sebab kehabisan.

    Pemilik premis yang juga penganjur majlis yang ditangkap oleh pihak polis, telah diminta menjelaskan kronologi kejadian.

    Demikian dilaporkan oleh semua akhbar hari itu.

    “Memang betul. Aku ikut di majlis tersebut. Gila betul suasananya seperti perang amuk sesama sendiri,” dia berhenti seketika membetulkan ikat kepalanya.

    “Lihat ni, bumbunanku luka terkena piring terbang. Dua belas jahitan. Celaka betul,” katanya. Dia membetulkan ikatan kepalanya lagi dan menyambung lagi, “Kamu tahu aku kerugian berapa?

    “Mana kami tahu kalau kamu tak beritahu,” jawab seorang lagi kawan yang bersamanya.

    “Aku rugi $1,500. Kau kira saja, kain baju $400, upah membuat baju $100, kain rancung model songket tenun Brunei $800, kupiah hitam $200.

    “Cuci saja tidak juga rugi,” kata kawannya yang seorang lagi.

    “Tidak dapat, songkok koyak. Baju juga koyak rabak terkena serpihan kaca dan darah, rancung sudah tak baik,” jawabnya.

    “Kata orang lagi lepas rusuhan majlis berubah menjadi pesta mukun. Hahahaha, boleh tahan.

    “Terpaksa juga aku ikut sambil menahan sakit,” katanya sambil membetulkan duduknya.
    “Sahih. Sahih,” belum habis cakap sudah dipotong oleh seorang kawan lain.

    “Sahih apanya, macam angin taufan meruju, cerita orang pun terputus terpelanting entah ke mana.

    “Duduk dulu, sudah usai baru cerita,” kata lagi yang berbaju taris-taris.

    “Yang aku dengar, pihak polis telah selesai merakam keterangan daripada tuan penganjur acara yang menimbulkan rusuhan,” katanya penuh semangat. Yang lain pasang telinga takut cerita itu terbang ke udara lepas.

    Setelah seminggu selepas pihak polis menyiasat tuan penganjur majlis yang menimbulkan huru-hara itu, pihak polis telah menyerahkan kertas siasatan lengkap kepada majlis peguam Buana Alam untuk tindakan selanjutnya.

    “Biar dia merasa bagaimana rasanya orang banyak yang tertipu,” kata orang yang kepala terluka yang menerima dua belas jahitan. Malah kerugian pula berjumlah $1,500.

    “Betul, betul, betul. Saya dengar daripada kawan saya yang juga dapat berita daripada kawannya sebelah sana mengatakan, sebanyak 100 pertuduhan telah dikenakan kepada tuan penganjur majlis tersebut.

    “Banyaknya.

    “Macam mana boleh sebanyak itu?” tanya yang kepalanya berbungkus sebab dua belas jahitan akibat rusuhan itu.

    Mereka berkumpul di depan kedai makan sambil bercerita…

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda