Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terap nilai profesional, kemahiran kaunselor

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 DIS – Dalam laporan Kementerian Kesihatan pada tahun 2020, mengongsikan bahawa kira-kira 7,000 orang telah dan sedang dirawat bagi penyakit mental di Negara Brunei Darussalam.

    Ini termasuk diagnosis gangguan psikotik seperti skizofrenia, gangguan mental teruk yang boleh menjejaskan keupayaan untuk berfungsi, kemurungan dan gangguan bipolar.

    Perkara berkenaan telah dikongsikan oleh Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari semasa melancarkan Buku Kod Etika Kaunselor Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) yang berlangsung di Bilik VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.

    Beliau seterusnya mengongsikan, dari tahun 2020 hingga November tahun ini, sebanyak 280 kes telah diterima oleh Unit Kaunseling JAPEM, sama ada yang dirujuk atau hadir sendiri.

    Daripada jumlah tersebut, 185 merupakan kes yang masih aktif menjalankan kaunseling dan tertinggi adalah kes tertekan.

    Hajah Nor Ashikin menyampaikan Buku Kod Etika Kaunselor Jabatan Pembangunan Masyarakat kepada seorang wakil pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    “Ini menunjukkan perlunya lebih banyak usaha untuk memajukan strategi dan intervensi masalah kesihatan mental dan kita juga harus berusaha untuk mengurangkan stigma dan diskriminasi terhadap mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental,” kata Hajah Nor Ashikin.

    Beliau berharap Buku Kod Etika Kaunselor Jabatan Pembangunan Masyarakat ini akan mengembangkan tanggungjawab profesional dan garis panduan dalam pengalaman etika kaunseling.

    “Ini seterusnya memperincikan lagi hal dan kewajipan antara klien dan kaunselor melalui hubungan profesional yang terjalin serta menjamin kebajikan dan kesejahteraan kaunselor dan klien,” jelasnya

    Buku yang diterbitkan oleh JAPEM, KKBS buat julung kalinya itu merupakan salah satu tindakan di bawah Pelan Strategik KKBS 2020-2024, ke arah menambah baik pemberian perkhidmatan bagi membangunkan ‘Masyarakat Yang Progresif’.

    Penghasilan buku tersebut merupakan usaha bersepadu senegara yang akan menyokong Pelan Tindakan Kesihatan Mental 2022-2025, di dalam Strategi Pertama: Strengthen Effective Leadership and Governance for Mental Health.

    Di bawah Priority Action 5, KKBS dan Jabatan Perkhidmatan Awam telah diamanahkan untuk sama-sama menerajui penyediaan Kod Etika Kebangsaan ataupun National Code of Ethics, dengan kerjasama agensi lain.

    Kod etika ini mengandungi lapan bahagian utama, yang antara lain dihasratkan untuk menerapkan nilai-nilai profesional dan meningkatkan kemahiran dalam diri kaunselor.

    Ianya juga menggariskan tatacara untuk menjalankan perkhidmatan dengan penuh amanah, adil dan jujur, selaras dengan qudwah yang dianjurkan Islam serta melindungi hubungan yang berintegriti antara kaunselor dan klien.

    Pada majlis itu, Hajah Nor Ashikin menyempurnakan penyerahan Buku Kod Etika Kaunselor Jabatan Pembangunan Masyarakat kepada agensi-agensi kerajaan dan rakan strategik.

    Turut hadir pada majlis pelancaran itu, Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh selaku pengerusi majlis, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan rakan-rakan strategik KKBS.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda