Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terapi seni untuk haiwan terbiar

    BRISTOL, UNITED KINGDOM – Di studio di Bristol, barat England, anjing terbiar, Rosie dan Alba bekerja keras di atas kanvas, mentakrifkan semula asas seni abstrak – kibasan satu ekor pada satu masa.

    Bagi mata kasar, kerja haiwan tersebut di Pusat Menyelamat Haiwan Bristol (ARC) boleh dilihat sebagai riuh-rendah, kebudak-budakan pada masa-masa tertentu malah kotor.

    Tetapi kedua-dua anjing itu mempunyai pekerjaan yang jauh lebih penting daripada hanya menyenangkan pengkritik.

    Inflasi dan kadar faedah yang tinggi di seluruh United Kingdom (UK) serta orang yang meninggalkan haiwan peliharaan yang dibeli semasa wabak COVID-19 telah menyaksikan lonjakan dalam haiwan terbiar.

    “Orang ramai tidak mampu membayar insurans dan penjagaan veterinar dan menjaga anjing mereka secara umum,” kata Bee Lawson, pakar tingkah laku haiwan di ARC, kepada AFP.

    Lukisan yang dihasilkan oleh haiwan terbiar dipamerkan di Pusat Haiwan Bristol. – AFP
    Alba mengambil bahagian dalam latihan menghasilkan lukisan di Pusat Menyelamat Haiwan Bristol di Bristol. – AFP
    Kanvas cat disediakan untuk dilukis oleh anjing di Pusat Menyelamat Haiwan Bristol di Bristol, barat England. – AFP
    Alba dan Rosie bergambar dengan lukisan yang dihasilkan. – AFP

    “Pada masa ini, kami hanya mengambil haiwan terbiar kerana kami mengalami jumlah tinggi anjing yang masuk ke pusat ini.”

    Krisis yang tidak pernah berlaku sebelum ini

    Badan amal kebajikan haiwan RSPCA telah berkata ia ‘amat prihatin’ tentang haiwan terbiar yang semakin meningkat ketika musim sejuk menghampiri.

    Sehingga akhir Oktober, RSPCA di England dan Wales menerima 17,838 laporan mengenai haiwan terbiar.

    Jika trend itu berterusan, ia berkata ia menjangka melihat sekitar 21,417 laporan pada 2023, berbanding 16,118 laporan pada 2020.

    “Banyak pusat penyelamat sudah penuh, jadi kami menghadapi krisis musim sejuk yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata Pesuruhjaya RSPCA, Dermot Murphy.

    Oleh itu, ARC yang dibiayai secara persendirian terpaksa mengemukakan cara yang kreatif untuk kekal bertahan. Salah satu idea yang difikirkan oleh kakitangan di pusat itu ialah mengadakan ‘Mutt Gala’ dalam talian pada bulan Disember, acara yang diilhamkan oleh Met Gala Majalah Vogue di New York, di mana seni haiwan akan dilelong.

    Dengan hanya menggunakan hidung, tangan dan sikap tidak mengendahkan peraturan seni, Rosie, Alba dan sekumpulan anjing terbiar yang sedang menumpang di pusat itu bersedia membantu.

    Terapi seni

    Lawson berkata lukisan digunakan sebagai alat terapi untuk anjing terbiar, yang sering tiba di pusat itu dalam keadaan trauma selepas ditinggalkan dan terpaksa hidup bersendirian dan tidak diberi makan di jalanan.

    “Apa-apa sahaja yang menggalakkan deria menghidu, menjilat dan mengunyah adalah benar-benar berfaedah kerana itu sebenarnya tingkah laku yang menenangkan secara semula jadi untuk anjing,” katanya.

    “Jadi apabila ia menghidu atau menjilat, ia mencetuskan saraf dalam otak anjing untuk melepaskan hormon gembira.”

    Untuk memujuk anjing mendekati kanvas, penjaga di ARC menggunakan mentega kacang dan ‘keju perah’ daripada kapsul, yang menggalakkan ia menghidu, menjilat dan menjadi kreatif.

    “Kami pada asasnya mendapatkan kanvas kosong atau sesuatu yang serupa, meletakkan beberapa cat bukan toksik pada kanvas, plastik melekap di atasnya, dan kemudian kami meletakkan hidangan kegemaran haiwan tersebut,” kata Jodie Bennett, seorang pegawai komuniti di pusat itu.

    “Bagi anjing di sini, biasanya keju atau mentega kacang yang menarik perhatian untuk mendekati kanvas.

    Dan kemudian anjing akan datang, menjilat dan bermain dengannya.”

    Kadang-kadang beberapa anjing akan berjalan di atas kanvas manakala yang lain akan menggunakan seluruh badan untuk mencipta seni.

    Berbakat besar

    Bennett berkata ‘Major’ anjing penyelamat putih telah terbukti sebagai salah satu artis yang lebih popular di pusat itu, dengan dua karyanya ‘Excited I’ dan ‘Excited II’ menarik minat mendalam daripada pengkritik dan pelabur seni.

    “Lukisannya menunjukkan betapa ia menyukai perasaan teruja,” tambahnya.

    “Jadi karya seni haiwan tersebut benar-benar kelihatan abstrak, seperti personaliti Major. Ia bakal menjadi artis berbakat pada masa akan datang.

    Karya abstrak warna kuning, jingga dan merah bernama ‘Burning Man’ oleh seekor kucing bernama ‘Cammie’, yang tiba tanpa diduga semasa salah satu sesi melukis, juga telah menarik minat yang mendalam daripada pelabur seni, katanya.

    “Cammie menghasilkan ‘Burning Man’ ia menggunakan warna merah kegemarannya kerana ia seekor kucing yang bersemangat,” tambahnya.

    Bagi Rosie dan Alba, kerja seni yang dihasilkan ‘agak bagus’, kata Bennett.

    Kedua-duanya telah berjaya menghasilkan beberapa karya terkenal yang telah menimbulkan kejutan dalam komuniti seni anjing tempatan.

    “Kami baru sahaja mengeluarkan beberapa karya seni yang sangat bagus daripada haiwan berkenaan,” katanya.

    “Saya sangat bangga dengan haiwan itu dan saya pasti akan menggantungnya di dinding saya.”

    Menurutnya. dengan latihan dan usaha, haiwan berkenaan mungkin akan mendapati karya mereka digantung di Tate suatu hari nanti. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda