Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terokai permata tersembunyi Bangladesh

    BANGLADESH – Bangladesh dikurniakan dengan keindahan semula jadi yang banyak dan tarikan buatan manusia yang menakjubkan.

    Di satu tempat, hutan Sundarbans yang mempesonakan menghiasi Teluk Benggala dan di tempat lain, bangunan-bangunan terbengkalai Panam Nagar mengingatkan tentang masa lalu yang gemilang negara itu. Permata Asia Selatan tersebut menawarkan pelbagai lokasi menakjubkan sesuai bagi jurugambar.

    Tanpa mengira sama ada awda seorang jurugambar amatur atau profesional, awda perlu ambil kamera dan jelajahi tujuh tempat yang mesti dilawati di Bangladesh yang telah dicadangkan seperti berikut.

    JALAN PENGHUBUNG RANGAMATI-KAPTAI

    Jalan Penghubung Rangamati-Kaptai bukan sekadar laluan, ia adalah perjalanan fotografi yang merangkumi keindahan alam semula jadi Bangladesh. Dengan setiap perjalanan, ia menawarkan perspektif baharu tentang keindahan semula jadi Rangamati.

    Seorang jurugambar bebas, Joyeeta Trisha berkata, “Di antara semua tempat yang pernah saya kunjungi di Rangamati, Jalan Penghubung Rangamati-Kaptai nampaknya paling menarik. Jalan ini menawarkan gabungan indah perairan Tasik Kaptai dan pergunungan – matahari terbenam dan berbukit landskap mencipta latar belakang yang sempurna untuk jurugambar merakam keajaiban alam semula jadi.”

    Hutan Paya Ratargul, Sylhet. – ANN/TheDailyStar
    Tanguar Haor, Sunamganj. – ANN/TheDailyStar
    Panam Nagar, Narayanganj.– ANN/TheDailyStar
    Kelihatan seekor rusa berkeliaran di Sundarbans. – ANN/TheDailyStar
    Gambar ANN-TheDailyStar

    TANGUAR HAOR

    Terletak di Dharmapash dan Tahirpur, Tanguar Haor ialah permata tersembunyi, merangkumi intipati keindahan semula jadi dan kepelbagaian biologi.

    Tanah lembap yang unik itu adalah syurga bagi peminat alam semula jadi, pemerhati burung dan jurugambar yang ingin menangkap gambar alam semula jadi.

    Haor adalah rumah kepada pelbagai spesies ikan. Pemerhati burung dan jurugambar juga boleh berseronok dengan pelbagai populasi burung, di mana banyak spesies burung yang berhijrah semasa musim sejuk.

    Jadi, jika awda seorang jurugambar yang ingin mencari pengalaman unik dan luar biasa melalui pengembaraan menaiki bot, Tanguar Haor perlu termasuk dalam senarai awda.

    SHAKHARI BAZAR, DHAKA LAMA

    Apabila seseorang memikirkan tentang Dhaka Lama, nama Shakhari Bazar tiba-tiba terlintas di fikiran. Dengan sejarah yang kaya, budaya yang meriah dan lorong-lorong sempit, Shakhari Bazar menawarkan peluang bagi khazanah fotografi.

    Silvia Mahjabin, seorang pelajar fotografi, menjelaskan, “Apabila awda melangkah masuk ke sini, awda dibawa mengimbau kembali masa lalu melalui bangunan era kolonial Mughal dan British.

    “Pakaian, kedai dan ramai manusia di jalanan, semuanya kelihatan seperti adegan filem klasik dan bagi saya sukar untuk mempercayai bahawa ia adalah sebahagian daripada bandar metropolitan kami!”

    HUTAN BAKAU SUNDARBANS

    Sundarbans yang megah bukan sahaja terkenal dengan gabungan unik hutan paya bakau yang tebal dan kepelbagaian ekosistem tetapi juga sebagai tempat tumpuan jurugambar yang mempunyai minat terhadap hidupan terbiar.

    Landskap tersendiri laluan air pasang surut dan saluran yang kompleks menawarkan suasana menarik untuk jurugambar, di samping interaksi antara daratan dan air bersama-sama dengan rangkaian akar yang kompleks, menghasilkan komposisi menarik – dan pastinya, prospek untuk menggambar Harimau Bengal di habitat semula jadinya adalah impian yang menjadi kenyataan!

    Lawatan ke Sundarbans sudah pasti akan meninggalkan jurugambar dengan khazanah foto yang luar biasa tentang kepelbagaian hidupan terbiar yang menjadikan hutan bakau itu sebagai rumah.

    PANAM NAGAR, NARAYANGANJ

    Terletak di Narayanganj, suasana bandar hantu dan koleksi bangunan terbiar turut menjadikan Panam Nagar sebagai syurga bagi jurugambar. Ukiran seni bina bangunan era kolonial yang menakjubkan menyerlahkan mutu ketukangan dan reka bentuk rumit masa lalu.

    Awda boleh mencari peluang untuk mengambil gambar unik antara cahaya dan bayang-bayang yang dihasilkan oleh lorong-lorong sempit dan seni bina Panam Nagar yang dipelihara dengan baik.

    HUTAN PAYA RATARGUL, SYLHET

    Hutan Paya Ratargul yang kekal separuh tenggelam di Sungai Gowain, Sylhet, merupakan permata tersembunyi yang kekal menjadi impian bagi ramai jurugambar.

    Apabila awda memasuki kawasan hijau yang subur itu, awda akan mendapati diri awda dikelilingi oleh perairan yang bersih, kanopi hutan yang tebal, dan pelbagai kehidupan tumbuhan di mana ia akan menarik awda kepada persekitaran dan latar belakang yang tenang untuk merakam keindahan alam semula jadi di dalamnya.

    TAMAN NEGARA LAWACHARA, MOULVIBAZAR

    Adakah awda seorang jurugambar yang ingin menangkap gambar alam semula jadi dari jarak yang dekat? Jika ya, maka Taman Negara Lawachara di Moulvibazar mungkin sesuai untuk awda. Hutan Lawachara adalah rumah kepada pelbagai jenis flora dan fauna, termasuk pelbagai spesies burung, monyet dan rusa. Taman ini menawarkan peluang yang tidak berkesudahan untuk menangkap gambar pelbagai spesies di habitat semula jadinya. – ANN/TheDailyStar

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda