Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terus titik beratkan pendidikan agama

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 FEB – Pendidikan agama mustahak sentiasa dititikberatkan bukan sahaja di peringkat sekolah rendah malah juga di peringkat yang lebih tinggi.

    Penekanan secara amali atau praktikal ilmu agama seperti cara berwuduk, perbuatan dan bacaan dalam sembahyang, masih sahaja perlu terus diperkasa kerana ibadah sembahyang mempunyai rukun-rukunnya yang perlu dipelajari dan dihalusi, selaku ibadat utama.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah sedemikian sempena Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara tahun 2024 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini, dengan tema Sembahyang Tiang Agama.

    Baginda turut bertitah hebatnya kedudukan sembahyang itu sehingga diumpamakan sebagai tiang agama. Sembahyang merupakan ibadah yang paling utama dan yang pertama dihisab di akhirat kelak.

    “Dalam hubungan ini, kita boleh melihat bahawa bangunan tidak akan terbina tanpa tiang. Maka demikian itulah juga dengan Islam tidak akan tegak terbina tanpa sembahyang, selaku tiang,” titah Baginda.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah pada Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara tahun 2024 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Keberangkatan Baginda Sultan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah ke majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan berkenan dijunjung berswafoto bersama antara yang hadir pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    ATAS & BAWAH: Antara yang hadir pada Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara tahun 2024 yang membawa tema Sembahyang Tiang Agama, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    “Sesungguhnya barang siapa yang menunaikan sembahyang bererti dia telah menegakkan agamanya dan barang siapa yang meninggalkan sembahyang bererti dia
    telah meruntuhkan agamanya.

    “Orang-orang yang sentiasa memelihara sembahyang telah dijanjikan oleh Allah SWT akan memperoleh nikmat kebahagiaan dan keuntungan,” titah Baginda.

    Baginda seterusnya bertitah bahawa kita sama-sama memahami sembahyang itu wajib ditunaikan tanpa mengira keadaan fizikal seseorang, sama ada dia berupaya
    atau kelainan upaya (OKU), sihat atau sakit dan seumpamanya selagi akal masih waras.

    Oleh yang demikian, pihak agensi berkenaan sangatlah mustahak untuk mengadakan pelbagai program pengukuhan agama di tempat yang sesuai termasuk masjid dan seumpamanya.

    Di samping itu, dalam titah Baginda turut menzahirkan kegembiraan dengan usaha Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan melibatkan pelbagai agensi dan badan persatuan termasuk kalangan belia bagi menyemarakkan suasana keilmuan dan peribadatan di masjid, surau dan juga balai ibadat termasuk dalam bangunan kementerian atau jabatan.

    Selain itu, Baginda melihat satu contoh pengisian yang bagus ialah program munajat yang diisi dengan bacaan surah pilihan, zikir, doa dan tazkirah yang sehingga kini masih terus dilaksanakan, yang mana program ini boleh diperkasakan lagi.

    Baginda melalui majlis yang penuh berkat itu, menekankan supaya semua pihak berkenaan akan sama-sama memastikan program pendidikan adalah benar-benar terarah dan terlaksana dengan sebaiknya tanpa mengabaikan kemudahan pendidikan bagi OKU.

    “Dengan cara itu, bangsa dan negara akan beroleh berkat dan pemeliharaan Allah SWT,” titah Baginda lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda