Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thailand laksana peraturan larangan pembakaran

    BANGKOK, 16 FEB – Thailand menguatkuasakan peraturan larangan pembakaran selama tiga bulan bagi mengekang kebakaran hutan dan jerebu di negara itu.

    Timbalan Ketua Setiausaha kepada Perdana Menteri dan Pemangku Jurucakap Kerajaan Anucha Burapachaisri dalam satu kenyataan berkata Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha sedang memantau keadaan jerebu dan kebakaran hutan di negara itu dan mengarahkan semua pihak mematuhi peraturan itu bermula hari ini hingga 30 April.

    Mereka yang melanggar peraturan akan dikenakan hukuman, katanya tanpa memberi penjelasan lanjut. “Perdana menteri telah mengarahkan semua agensi berkenaan mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi harta benda dan mengelakkan kerugian.

    “Agensi berkaitan juga digesa proaktif bekerja bagi mewujudkan kesedaran awam. Jika keadaan tidak bertambah baik, pelan pelarasan diperlukan untuk meningkatkan langkah-langkah berkaitan,” menurut kenyataan itu.

    Jabatan Kawalan Pencemaran (PCD) berkata wilayah utara Thailand dijangka mengalami tahap pencemaran udara melebihi had selamat dan akan kekal di bawah pengawasan ketat sehingga 19 Februari. – Bernama

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda