Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thailand terima 14.15 juta pelancong sehingga Julai

    BANGKOK, 18 JULAI -Industri pelancongan Thailand mengalu-alukan kedatangan 14.15 juta pelancong asing dengan pendapatan sektor pelancongan mencecah 588 bilion baht dari 1 Januari hingga 16 Julai tahun ini.

    Dalam satu kenyataan, Kementerian Pelancongan dan Sukan memaklumkan bahawa Malaysia berada di antara lima pengunjung tertinggi melawat negara itu dengan 2.24 juta pelawat diikuti China (1.65 juta), Korea Selatan (830,576), India (826,390) dan Rusia (825,777).

    “Kementerian meramalkan bahawa bilangan pelancong asing ke Thailand akan melebihi 15 juta menjelang akhir Julai, dengan jumlah ketibaan pelancong meningkat selepas cuti sekolah di kebanyakan negara,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, sektor pelancongan Thailand dijangka menjana pendapatan 3 trilion baht pada 2024.

    Timbalan Gabenor bagi Pemasaran Domestik Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT), Thapanee Kiatphaibool berkata agensi itu dijangka mengalu-alukan kedatangan 35 juta pelancong asing dan 200 juta perjalanan domestik tahun depan.

    “Dengan hala tuju strategik 2024 yang dirancang, TAT menetapkan sasaran pendapatan keseluruhan dalam senario terbaik sebanyak 3 trilion baht merangkumi 1.92 trilion baht pelancongan antarabangsa dan 1.08 trilion baht pelancongan domestik,” katanya dalam satu kenyataan. – Bernama

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda