Saturday, May 11, 2024
31.6 C
Brunei

    -

    ‘Tiada hasrat cipta gimik raih populariti’

    Kekal dalam liga tersendiri, selepas dua minggu dilancarkan, single terbaharu Insomniacks berjudul Sempurna menduduki tangga pertama Carta RIM Malaysia.

    Pada 2019, single Pulang mencapai kejayaan apabila muncul juara carta sama selama 106 minggu, sekali gus diangkat sebagai lagu domestik paling lama dalam carta dan paling banyak distrim pada tahun berkenaan.

    Tidak hanya itu, kumpulan yang ditubuhkan sejak 2015 itu juga menjadi artis tempatan paling banyak distrim pada 2019 melalui aplikasi muzik, Spotify.

    Melihat pencapaian itu, terbukti kumpulan dianggotai empat anak muda iaitu Iqie, Iskandar, Danial serta Gavin ini mempunyai tempat tersendiri dalam persada muzik tempatan.

    Namun, bekas finalis kategori Arti Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-32 ini hanya gah di carta. Tidak banyak kisah mereka diperkatakan, apatah lagi cerita hangat.

    Insomniacs tidak berhasrat mencipta gimik atau kontroversi hanya untuk meraih populariti. – Agensi

    Mengulas perkara itu, Iqie selaku vokalis pertama itu mengaku mereka hanya mahu muzik Insomniacks diperkatakan.

    “Kami mahu lagu lebih dikenali. Kalau tidak ‘meletup’, kami cubalah buat apa yang terbaik. Tetapi setakat ini, kami meletakkan muzik sebagai perkara pertama.

    “Kami mahu mengetengahkan lagu kami sebab seronok buat muzik. Kami sedar apabila kami fokus pada perkara ini sahaja, kami lebih sukses dan kurang rasa tertekan.

    “Alhamdulillah, setakat ini kami baik-baik saja,” katanya kepada media.

    Malah, tambah Gavin, mereka tidak berhasrat mencipta gimik atau kontroversi hanya untuk meraih populariti.

    “Saya fikir kalau guna gimik, memang boleh tarik perhatian. Namun, ia boleh membuat kami cepat tersungkur. Ibaratnya, cepat naik, cepat turun,” katanya.

    Gavin berkata, sejak dahulu lagi, matlamat Insomniacs adalah memberi lagu terbaik kepada peminat.

    “Kami lihat peminat juga memahami visi kami dengan menghargai karya band ini. Mereka suka melihat kami menjadi diri kami sendiri,” katanya.

    Berkongsi mengenai single Sempurna, lagu yang mengisahkan perasaan insan yang berdepan kehilangan sesuatu yang dianggap sempurna itu ditulis Iqie dan Danial. Iskandar berkata, mereka mula merakamkan lagu berkenaan pada September 2021.

    Ditanya mengenai harapan mereka terhadap single Sempurna, Iskandar berkata, mereka menaruh harapan, namun, tidak mahu terlalu mencuba. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bekas PM Fiji dipenjara salah guna kuasa

    SUVA, FIJI, 10 MEI - Bekas Perdana Menteri Fiji, Frank Bainimarama, dijatuhi hukuman penjara selama setahun hari ini atas kesalahan menghalang proses keadilan selepas...