Friday, March 14, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiada komen, saya dipanggil SPRM bantu siasatan – Ziana

    “Minta maaf, saya tiada apa-apa nak komen. Saya dipanggil hanya membantu siasatan.”

    Demikian kenyataan penyanyi Ziana Zain mengenai kehadirannya ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, pada Khamis untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram menerusi Ops Sky membabitkan syarikat perunding kewangan.

    Ziana atau nama sebenar, Siti Roziana Zain berkata, apa sahaja kenyataan biarlah datang daripada pihak SPRM.

    “Apa-apapun kena tunggu SPRM,” katanya ketika dihubungi BH Online.

    Turut bersama Ziana dalam pertemuan secara tertutup adalah pelakon veteran, Datuk Jalaluddin Hassan dan Angkasawan Malaysia, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha.

    Media melaporkan, ketiga-tiga selebriti itu hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada jam 9:30 pagi dan dibenarkan masuk menerusi pintu belakang.

    Terdahulu, siasatan mendapati selebriti dan artis terbabit menerima wang bayaran hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat bagi tujuan promosi.

    SPRM menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan menerusi Ops Sky, baru-baru ini.

    Seramai 12 individu ditahan dalam serbuan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi, termasuk kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang.

    Setakat ini, 27 individu ditahan termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit serta satu orang awam. – Agensi

    Ziana menegaskan apa sahaja kenyataan biarlah datang daripada SPRM. – The Star
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda