Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiada rancangan letak jawatan

    AL RAYYAN, 7 FEB – Ketua jurulatih, Jurgen Klinsmann tidak berniat untuk meletak jawatan selepas Korea Selatan tewas 2-0 kepada Jordan pada saingan separuh akhir Piala Asia di Stadium Ahmad bin Ali di sini, kelmarin.

    Kekalahan mengejut itu menyaksikan skuad Taeguk Warriors gagal menamatkan penantian 64 tahun untuk memenangi gelaran buat kali ketiga.

    Legenda bola sepak Jerman berusia 59 tahun itu dilantik sebagai ketua jurulatih Korea Selatan pada tahun lalu dengan kontraknya sehingga Piala Dunia 2026.

    Apabila ditanya sama ada beliau akan bertanggungjawab dengan meletak jawatan, Klinsmann, yang merupakan pemenang Piala Dunia 1990, berkata perkara itu bukan dalam rancangannya.

    “Saya tidak merancang untuk melakukan apa-apa (meletak jawatan), saya mahu kembali dan menganalisis perlawanan kami sepanjang kejohanan, saya mahu bercakap dengan persekutuan (Persatuan Bola Sepak Korea Selatan) tentang apa yang baik dan apa yang tidak baik.

    “Saya fikir terdapat banyak perkara positif dalam pasukan ini yang masih meningkat menjelang Piala Dunia 2026. Kami akan melalui kempen kelayakan yang sukar dan banyak yang perlu dilakukan mulai sekarang,” katanya pada sedia media selepas perlawanan itu.

    Pada masa yang sama, Klinsmann berasa kecewa dan marah dengan prestasi buruk pasukannya, menyaksikan mereka gagal menghasilkan satu percubaan di sebalik penguasaan bola. – Bernama

    Klinsmann melihat sebelum perlawanan bola sepak antara Jordan dan Korea Selatan di Stadium Ahmad Bin Ali di Al Rayyan, Qatar pada 6 Februari 2024. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda