Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat pemikiran komputasional pelajar

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Kemahiran pengekodan dan pemikiran komputasional merupakan kemahiran yang amat integral dan penting selaras dengan era pendigitalan di mana ia membolehkan pelajar mengkonseptualisasikan, memahami dan menggunakan teknologi komputer untuk menyelesaikan masalah.

    “Kemahiran seumpama itu amat berpotensi bagi negara melahirkan lebih ramai lagi tenaga kerja dalam kalangan pemaju perisian, jurutera kecerdasan buatan, jurutera robotik dan saintis data yang diperlukan di pasaran masa kini dan masa hadapan.”

    Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), Ir Haji Jailani bin Haji Buntar dalam ucapan alu-aluannya pada majlis penyampaian hadiah bagi Pertandingan Akhir Projek Rintis Coding with Smart Devices for Government Schools diadakan di Dewan Puteri, Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI), hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang dalam pertandingan berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Penghulu Mukim Bukit Sawat, Yang Berhormat Haji Mohd Salleh bin Haji Othman.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Ali Hamdani bin Haji Muhammad Diah, pegawai-pegawai kanan serta pemimpin-pemimpin sekolah.

    Haji Mohd Salleh menyampaikan sijil kepada guru-guru sekolah yang terlibat sama. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Tetamu kehormat ketika menyaksikan demonstrasi penggunaan alat-alat peranti pintar yang dihasilkan oleh para pemenang pertandingan.– GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Pengarah Syarikat Future Champ, Wong Teck Sion ketika menyampaikan ucapan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Ir Haji Jailani menambah pelaksanaan projek rintis, Coding with Smart Devices for Government Schools, bermula pada Julai 2023 yang melibatkan 35 guru dan 195 pelajar dari empat buah sekolah rendah dan empat buah sekolah menengah kerajaan yang terpilih.

    Hasil daripada pelaksanaan projek rintis selama enam bulan itu sangat menggalakkan dengan maklum balas yang positif diterima daripada sekolah-sekolah yang terlibat.

    Antara maklum balas berkenaan ialah sekolah-sekolah dapat memanfaatkan projek itu sebagai batu loncatan bagi memudahkan penyerapan kaedah pembelajaran dalam kurikulum, di mana penggunaan alat-alat Bee-bot dan micro:bit menjadikan pembelajaran lebih berinteraktif.

    “Malah sebahagian daripada sekolah tersebut telah meneruskan dan masih lagi mengadakan pembelajaran pengekodan menggunakan alat-alat peranti pintar sehingga ke hari ini.

    “Alat-alat peranti pintar merupakan alat bantuan belajar yang sangat menarik dan ia dijadikan sebagai salah satu insentif bagi pelajar-pelajar untuk menyiapkan kerja sekolah mereka sebelum dapat menggunakan peralatan tersebut,” tambahnya.

    Kaedah itu sangat berkesan terutamanya bagi pelajar berkelainan upaya yang membolehkan pelajar-pelajar berkenaan memberikan lebih tumpuan dalam pembelajaran dengan adanya alat-alat peranti pintar sebagai ganjaran.

    Pada majlis berkenaan, juara Kategori Ring:bit (Sekolah Rendah) disandang oleh Team Kembayau dari Sekolah Rendah (SR) Rimba III, tempat kedua Team NetZen dari SR Katok A dan tempat ketiga dimenangi Microkids dari SR Mabohai.

    Sementara itu, bagi Kategori Maqueen (Sekolah Menengah), juara ialah Team Delite dari Sekolah Menengah (SM) Menglait, Gadong, tempat kedua Team Robotech dari SM Menglait, Gadong dan tempat ketiga disandang Team Ranch dari SM Tanjong Maya Tutong.

    Selepas penyampaian hadiah, Yang Berhormat Haji Mohd Salleh berpeluang menyaksikan dengan lebih dekat demonstrasi penggunaan alat-alat peranti pintar yang dihasilkan oleh para pemenang pertandingan itu.

    Projek Rintis Coding with Smart Devices merupakan salah satu usaha bersama Kementerian Pendidikan dan AITI bagi meningkatkan kemahiran pengekodan dan pemikiran komputasional dalam kalangan pelajar melalui pembelajaran menggunakan alat peranti pintar iaitu Bee-bot dan micro:bit.

    Pada penghujung projek berkenaan, satu pertandingan telah diadakan bagi menilai tahap kefahaman para pelajar dalam pembelajaran menggunakan alat peranti pintar itu.

    Pertandingan akhir yang diadakan itu telah disertai oleh 12 kumpulan dari sekolah rendah dan 12 kumpulan dari sekolah menengah yang terlibat dalam projek rintis berkenaan.

    Dengan adanya program-program kemahiran itu, ia diharapkan dapat mendorong dan meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta minat para pelajar untuk berkecimpung dalam bidang ICT khususnya dalam kemahiran pengekodan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda