Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat peranan wanita dalam pengurusan bencana alam

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Wanita dan kanak-kanak terjejas secara tidak seimbang oleh kejadian bencana alam dan penyertaan mereka dalam tindakan serta mitigasi bencana adalah penting untuk memastikan keperluan dan perspektif mereka difahami serta diambil kira di setiap peringkat.
     
    Perkara itu dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Ambra Dickie dalam ucapan alu-aluannya semasa Forum sempena Hari Wanita Antarabangsa 2024 yang berlangsung di Brunei CAE Multi-Purpose Training Centre, hari ini.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat semasa forum berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Dayang Nor Hamidah binti Haji Hamidon.
     
    Forum itu dihadiri oleh kira-kira 70 orang yang terdiri daripada ahli-ahli Kor Diplomatik, agensi-agensi yang berkaitan dalam pengurusan bencana alam serta para pelajar.
     
    Dalam ucapannya lagi, PYT Ambra Dickie menyatakan wanita juga mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk menyumbang serta memimpin komuniti mereka. Beliau menambah usaha untuk memajukan kesaksamaan jantina dan pemerkasaan wanita adalah penting kepada Dasar Bantuan Antarabangsa Feminis Kanada serta dikembangkan di bawah Strategi Indo-Pasifik Kanada.
     
    Dalam hubungan itu, pihaknya amat gembira untuk bekerjasama dengan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) Negara Brunei Darussalam bagi meningkatkan pengiktirafan peranan signifikan wanita dalam pengurusan bencana alam.
     
    Forum yang diadakan secara hibrid dengan tajuk, Peranan Wanita dalam Pengurusan Bencana Alam itu mengetengahkan empat orang ahli panel yang berkemahiran dalam respons bencana alam di Brunei dan rantau ASEAN. 
     
    Mereka terdiri daripada Pensyarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam, Dr Maria Carinnes Alejandria; Pengarah NDMC, Kolonel (B) Muhd Harrith Rashidi bin Haji Muhd Jamin; Bekas Pengarah Eksekutif, ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance (AHA Centre), Adelina Kamal dan Gender and Inclusion Senior Officer di International Federation of Red Cross and Red Crescent (IFRC), Runjini Raman dengan moderator, Dr Shariza Wahyuna binti Haji Shahrin dari UBD.
     
    Dayang Nor Hamidah dan PYT Ambra Dickie bergambar ramai dengan para ahli panel forum dan jemputan yang menghadiri forum berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda