Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Turkiye: Operasi mencari, menyelamat hampir selesai

    ANKARA, 20 FEB – Operasi mencari dan menyelamat yang berlanjutan hampir dua minggu selepas gempa bumi besar meragut lebih 40,000 nyawa kini hampir selesai, menurut agensi bencana Turkiye, kelmarin.

    Bagaimanapun operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan di sekitar 40 bangunan membabitkan dua wilayah iaitu Hatay dan Kahramanmaras, kata ketua Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Yunus Sezer pada sidang media, lapor Xinhua.

    Sezer berkata kerja-kerja di kawasan yang dilanda bencana kini tertumpu kepada mengalihkan serpihan, melindungi gelandangan dan penyediaan infrastruktur.

    Jumlah kematian akibat dua gempa bumi kuat yang melanda selatan Türkiye pada 6 Februari telah meningkat kepada 40,689, kata Sezer.

    Angka kematian dijangka meningkat apabila pasukan penyelamat mengeluarkan lebih banyak mayat daripada runtuhan.

    Anggota pasukan penyelamat China semasa operasi di Hatay, Turkiye pada 9 Februari. Pihak berkuasa Turkiye hampir menyelesaikan usaha mencari dan menyelamat setelah dua minggu gempa bumi mengorbankan lebih 40,000 jiwa. – Xinhua

    Zon gempa dianggarkan mempunyai populasi 13.5 juta orang dan ramai daripada mereka hilang tempat tinggal.

    Kerajaan Turkiye bersama organisasi bantuan tempatan dan antarabangsa telah melancarkan usaha bantuan besar-besaran.

    Pihak berkuasa berusaha menyediakan lebih banyak penginapan sementara termasuk khemah dan kontena, manakala ramai mangsa yang terselamat masih ditempatkan di hotel, asrama, gim, dan kereta api.

    Lebih 6,000 kontena telah dipasang setakat ini, manakala kerja-kerja infrastruktur bagi membina 68,000 kontena hampir siap, kata Sezer sambil menambah hampir 250,000 khemah telah digunakan.

    Presidennya Recep Tayyip Erdogan berkata pada Selasa bahawa 2.2 juta orang telah meninggalkan zon bencana.

    Bagaimanapun, ramai mangsa yang terselamat memilih untuk tinggal berdekatan dengan kediaman mereka bagi melindungi harta benda. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda