Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ubat antidiabetes lonjak keuntungan Novo Nordisk

    COPENHAGEN, 2 NOV – Pengeluar ubat Denmark, Novo Nordisk hari ini melaporkan peningkatan mendadak dalam jualan dan keuntungan suku ketiga yang didorong oleh kejayaan rawatan antidiabetes dan antiobesitinya, Ozempic dan Wegovy.

    Keuntungan bersih meningkat kepada 22.5 bilion kroner dalam tempoh dari Julai hingga September, peningkatan sebanyak 56 peratus daripada masa yang sama tahun lepas.

    Jualan pula meningkat 29 peratus kepada 58.7 bilion kroner.

    Keputusan ini lebih baik sedikit daripada ramalan penganalisis yang menjangkakan keuntungan bersih sekitar 21.5 bilion kroner dengan jualan sebanyak 57.7 bilion.

    Sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini, jualan meningkat sebanyak 33 peratus kepada 166.4 bilion kroner pada kadar pertukaran yang tetap, dengan lonjakan 58 peratus dalam jualan untuk Ozempic dan peningkatan hampir lima kali ganda untuk Wegovy.

    “Kami sangat berpuas hati dengan pertumbuhan jualan dalam sembilan bulan pertama 2023, yang mencerminkan bahawa lebih ramai orang daripada sebelum ini mendapat manfaat daripada rawatan diabetes dan obesiti inovatif kami,” kata ketua eksekutif, Lars Fruergaard Jorgensen.

    Ozempic ialah rawatan suntikan antidiabetes yang menjadi sangat popular di rangkaian sosial kerana sifat pelangsingannya, walaupun ia tidak diluluskan untuk kegunaan tersebut. Novo Nordisk kemudian melancarkan Wegovy, yang mempunyai bahan aktif yang sama seperti Ozempic dalam dos yang berbeza, tetapi telah diluluskan oleh pengawal selia Amerika Syarikat bagi merawat obesiti. – AFP

    Gambar yang diambil pada 23 Februari di Paris menunjukkan logo Novo Nordisk pada kotak ubat Ozempic. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda