Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    UBD SBE terima anugerah AACSB

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Brunei Darussalam (UBD SBE), telah mencatatkan pencapaian yang sangat membanggakan dalam pendidikan perniagaan setelah dianugerahkan Akreditasi Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB), baru-baru ini.

    Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle berkata, pencapaian berkenaan menandakan peristiwa penting dalam sejarah UBD SBE, yang menunjukkan komitmennya untuk menyediakan pendidikan berkualiti tinggi dan memupuk pemimpin yang inovatif dan prihatin.

    Semasa sidang media yang berlangsung di Bilik Persidangan, Tingkat 2, Bangunan Pentadbiran, UBD, petang tadi, Dr Hazri mengongsikan, “AACSB, ditubuhkan pada 1916, merupakan persatuan bukan berasaskan keuntungan global yang memupuk penglibatan, mempercepatkan inovasi dan meningkatkan impak dalam pendidikan perniagaan,”
    Piawaian yang ditetapkan oleh AACSB untuk akreditasi, jelas beliau, adalah ketat dengan 86 peratus daripada sekolah yang diperakui AACSB mengakui bahawa akreditasi itu sebagai yang paling menuntut berbanding akreditasi lain.

    Kurang daripada 6 peratus sekolah di dunia yang menawarkan program ijazah perniagaan memegang akreditasi perniagaan AACSB.

    “Dengan akreditasi ini, UBD SBE menyertai kumpulan elit yang terdiri daripada lebih 1,000 buah sekolah perniagaan di 60 buah negara, yang memberikan kesan kepada lebih 5 juta pelajar di seluruh dunia.

    Selain itu, ia terdiri sebagai salah satu daripada 28 buah sekolah perniagaan di ASEAN untuk mencapai pengiktirafan berprestij ini,” kongsinya lanjut.

    Sementara itu, Dekan UBD SBE, Dr Masairol bin Haji Masri dalam sidang media berkenaan turut tidak ketinggalan melahirkan rasa bangga dengan akreditasi AACSB itu, sebagai satu pencapaian yang menyelaraskan UBD SBE dengan institusi yang diiktiraf di peringkat global dalam menyampaikan pendidikan berkualiti dan penyelidikan yang memberikan impak.

    Beliau juga menekankan penghormatan untuk menjadi sekolah perniagaan bertauliah pertama di Negara Brunei Darussalam dengan mencerminkan pencapaian ini sebagai satu langkah ke arah memenuhi Wawasan Brunei 2035.

    Dalam kesempatan itu, Dr Masairol turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan universiti, AACSB, mentor, dan pasukan semakan rakan sebaya atas sokongan tidak ternilai mereka sepanjang perjalanan berkenaan, di samping terus menjangka untuk meneruskan kerjasama dengan AACSB dan komuniti sekolah perniagaan global.

    Dr Hazri dan Dr Masairol bergambar ramai bersama tetamu yang hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda