Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNISSA hidupkan kembali tradisi pengajian talaqqi

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 FEB – Untuk melahirkan pakar-pakar di dalam pelbagai disiplin ilmu Islam yang mencontohi sistem para ulama silam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) menganjurkan sebuah program pengajian tidak formal iaitu sistem pengajian talaqqi.

    Menurut UNISSA, program itu juga dihasratkan untuk menghidupkan kembali sistem pembelajaran yang telah diwarisi sejak zaman Rasulullah SAW, para sahabat, tabiin, dan seterusnya ilmuan tersohor Islam.

    Seiring dengan hala tuju dan penubuhan UNISSA untuk melahirkan graduan bertahap ulama, Fakulti Usuluddin terpanggil menanai tanggungjawab meneruskan legasi warisan ulama yang melintasi berbagai-bagai zaman dan peradaban melahirkan ilmuan Islam pada masa hadapan.

    Seterusnya, program tersebut adalah usaha dalam memasyarakatkan pembacaan berkenaan kitab turath sebagai teras dan tonggak dalam pengajian Islam sebagai langkah permulaan, program talaqqi kitab turath itu dibukakan bermula pada semester 1, 2023/2024 dan diberi nama Balai Talaqqi, UNISSA.

    Program Balai Talaqqi itu berperanan dalam penganjuran daurah-daurah kitab bagi menyebarkan ilmu pengetahuan dengan membuka peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi serta penuntut-penuntut ilmu yang berminat untuk menelaah kitab dari kulit ke kulit, khususnya kitab-kitab turath klasik.

    GAMBAR SERAHAN UNISSA
    Antara yang mengikuti sesi pembelajaran Daurah Akidah di UNISSA. – GAMBAR SERAHAN UNISSA

    Balai Talaqqi adalah komitmen dan usaha UNISSA untuk menghidupkan kembali tradisi pengajian talaqqi dalam berbagai cabang ilmu di pusat-pusat ilmu.

    Program itu dimulakan dengan dua buah daurah kitab yang dikendalikan oleh Penolong Profesor, Dr Ahmad Baha bin Mokhtar dan Awang Ahmad Ahyad bin Haji Amynoor yang merupakan alumni UNISSA dan memiliki tauliah MUIB, serta memiliki sanad kitab tersebut secara talaqqi bersanad.

    Perancangan jangka panjang Balai Talaqqi, sekurang-kurangnya pelajar yang mengikuti program berkenaan akan dapat khatam lapan buah kitab dalam tempoh empat tahun, dengan kiraan dua buah kitab bagi setiap semester.

    Di samping itu, pelajar akan diberi latihan dan bimbingan kemahiran untuk mengajar kitab tersebut kepada generasi selepasnya. Dengan cara tersebut pengajian kitab turath akan terus berkembang dengan cepat.

    Daurah tasawwuf dijadualkan setiap Selasa, dari 7 hingga 9 malam di Kampus UNISSA.

    Sementara itu, Daurah Aqidah pula dijadualkan setiap Jumaat, pada waktu dan tempat yang sama.

    Kedua-dua daurah itu dijangkakan akan mengambil masa selama empat bulan iaitu satu semester untuk mengkhatamkan kitab-kitab tersebut. Program itu dibukakan secara percuma dan terbuka untuk penuntut ilmu yang berminat daripada kalangan pelajar, mahasiswa dan orang awam yang berminat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda