BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JAN – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pejabat Hab Keusahawanan (E-Hub) telah julung kali mengadakan majlis perasmian Unipreneurs Showcase sebagai platform untuk mempamerkan idea keusahawanan yang inovatif daripada pelajar baru-baru ini.
Dengan bertemakan Memupuk Usahawan Muda untuk Hari Esok yang Lestari, inisiatif berkenaan sangat penting bagi menyokong dan memperkasa usahawan muda, khususnya dalam kalangan pelajar UNISSA.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Rektor UNISSA, Yang Mulia Dato Seri Setia Haji Norarfan bin Haji Zainal dan turut dihadiri oleh pegawai-pegawai eksekutif, pegawai-pegawai utama, timbalan-timbalan dekan, pengarah dan jemputan khas.
Sebanyak 68 pelajar dari 13 kumpulan turut serta dalam pameran yang terdiri daripada beberapa fakulti yang bekerjasama menampilkan produk masing-masing. Pelbagai idea keusahawanan yang menarik dan inovatif telah dipamerkan dalam pameran tersebut.
Antara tujuan pameran adalah bagi membuka ruang bagi pelajar UNISSA untuk mempamerkan idea, produk dan inovasi yang mempunyai potensi untuk dikembangkan.
Di samping itu, pameran turut diadakan oleh Pejabat Hab Keusahawanan UNISSA sebagai menjalankan peranannya dalam mewujudkan pemikiran, minat, suasana dan budaya keusahawanan yang kondusif demi memperkasa kebolehan pelajar UNISSA supaya berani memulakan, memiliki dan mengembangkan perniagaan mereka.
Dalam ucapan alu-aluan oleh Ketua Pejabat E-Hub, Dayang Raihana binti Mohd Raffi menjelaskan tujuan pameran dalam mengenal pasti pelajar yang berpotensi dan juga kebolehlaksanaan perniagaan untuk dikembangkan.
Ia juga berpotensi untuk mewujudkan pemikiran, suasana dan budaya keusahawanan di kalangan pelajar UNISSA. Beliau juga berharap program sedemikian akan menjadi aktiviti tahunan dalam mengenal pasti usahawan muda di kalangan pelajar UNISSA.
Justeru, dengan mengambil kira potensi yang ada pada pelajar UNISSA, Pejabat Hab Keusahawanan menawarkan program dan aktiviti yang dapat meningkatkan kompetensi keusahawanan pelajar.
Pendedahan awal kepada belia terutamanya pelajar Universiti perlu dilaksanakan agar keusahawanan dapat diperkasakan untuk persiapan masa hadapan. Oleh itu, pameran ini akan menjadi langkah pertama dalam mendorong para usahawan muda untuk yang inovatif dan berdaya saing.
Semua di atas: Yang Mulia Dato Seri Setia Haji Norarfan melawat antara pameran yang disediakan.