Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ustaz Kazim berbelanja besar rawat sakit misteri

    Gara-gara mengalami masalah sukar untuk tidur pada waktu malam, pendakwah bebas Malaysia, Ustaz Datuk Mohammad Kazim Elias mendedahkan beliau dan isteri terpaksa tidur berasingan.

    Memetik laporan mStar, Kazim, 52, berkata bahawa beliau terpaksa melakukan tindakan itu kerana tidak mahu mengganggu waktu rehat isterinya.

    “Saya reda dan terima hakikat Allah tak bagi saya tidur, jadi saya ganti sahaja dengan amalan yang lain.

    “Sehinggakan saya dan isteri tidur bilik berasingan, sebab kalau tidur sekali, dia takkan boleh tidur sebab saya bangun buat kerja rumah macam mop lantai, sapu sampah dan lain-lain.

    “Isteri dan anak-anak pun dah faham, saya redha je, janji boleh buat kerja, syukur saya tak ada masalah mengantuk dan penat untuk mengajar di sekolah keesokan harinya,” katanya kepada mStar.

    Kazim mendedahkan perkara itu ketika ditemui semasa sidang media perasmian edisi khas set pengurusan jenazah KAF Digital di Restoran Ketam Viral, Bangi, Selangor pada petang Rabu.

    Pernah berkongsi mengenai penyakit misteri yang dihadapinya sebelum ini, Kazim menyangkal dakwaan segelintir pihak kononnya beliau menolak untuk melakukan rawatan secara perubatan moden.

    Sebaliknya penceramah itu sudah memberitahu sudah menghabiskan ratusan ribu ringgit di hospital sebagai ikhtiar untuk merawat kesakitan yang dialaminya itu.

    “Saya punya pemikiran setiap kali saya sakit, saya dapat rezeki lain, jadi buat apa saya nak kisah… terbaharu dapat pula tawaran watak utama dalam sebuah filem.

    “Semua penyakit saya rujuk hospital. Sakit kulit saya lalui sebelum ini, saya jumpa 15 pakar sampaikan doktor pun ambil daging saya untuk periksa penyakit itu tapi keputusannya negatif.

    “Selepas negatif baru saya ikhtiar cara lain, saya tak pernah menolak perubatan moden seperti dakwaan masyarakat. Banyak sudah saya habiskan untuk berubat, rasanya sehingga ratusan ribu ringgit,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Kazim juga mendedahkan mengenai kisah sepasang suami isteri yang tampil mengaku telah menghantar sihir terhadapnya pada tahun 1997.

    Beliau bagaimanapun sudah memaafkan pasangan itu dan menjalinkan hubungan baik sehinggalah akhir hayat lelaki berkenaan.

    “Kali pertama saya kena sihir pada tahun 1997… muntah darah, sebulan sakit tak boleh makan, tidur, badan kurus kering.

    “Kemudian ada suami isteri datang jumpa saya dan mereka minta maaf. Mereka mengaku telah sihir saya… saya tanya berapa kos buat benda ini, mereka kata RM30,000, tapi itu pada tahun 1997.

    “Kalau mereka tak minta maaf pun saya dah maafkan… saya ambil suami dia jadi pemandu peribadi saya, dan apabila suami dia meninggal saya yang mandikan jenazah dia,” jelasnya.

    Sebelum ini Kazim mendedahkan beliau sukar tidur akibat perbuatan sihir sejak 15 tahun lalu. – Agensi

    Ustaz Kazim sudah berhabis ratusan ribu ringgit demi ikhtiar merawat penyakit misteri yang dialami. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda