Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Venezuela rampas lebih 10 tan kokain

    CARACAS, 27 OKT – Lebih 10 tan kokain dirampas di Venezuela semasa operasi polis dan tentera, kata pihak berkuasa kelmarin, kuantiti bersamaan kira-kira satu perempat daripada semua rampasan yang dibuat tahun lepas.

    “Sebanyak 10,400 kilogram kokain hidro klorida telah dirampas dan dibakar,” kata Ketua Agensi Antidadah Negara, Richard Lopez di X.

    Kokain hidroklorida ialah serbuk dadah yang terlarang.

    Venezuela merampas kira-kira 51 tan dadah setakat tahun ini, membawa kepada lebih 13,000 tangkapan, kata Lopez.

    Polis membongkar tiga kem pengeluaran kokain dengan 13 makmal, pusat logistik dan kilang pembuatan senjata dan bahan letupan, tambahnya.

    Pegawai itu tidak melaporkan sebarang tangkapan dalam operasi tiga hari di barat laut negeri Zulia, di sempadan dengan Colombia dan tempat kebanyakan dadah telah dirampas tahun ini.

    Lebih daripada 41 tan narkotik telah dirampas pada 2022, menurut agensi antidadah.

    Berjuta-juta orang telah meninggalkan Venezuela dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana mengalami krisis ekonomi yang menyaksikan peningkatan kemiskinan, dengan ramai yang menetap di Colombia.

    Negara-negara Amerika Selatan berkongsi sempadan sepanjang 2,200 kilometer melalui wilayah yang penuh dengan kumpulan bersenjata yang bersaing untuk laluan pengedaran dan penyeludupan dadah yang menguntungkan. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda