Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Volkswagen rancang hasilkan EV murah

    FRANKFURT, 29 MEI – Syarikat kereta gergasi Jerman, Volkswagen kelmarin mengumumkan rancangan untuk model kereta elektrik yang lebih murah berbanding sebelum ini, setelah menghadapi persaingan yang semakin sengit daripada syarikat Asia yang telah menerajui teknologi bateri.

    Model baharu itu, yang akan berharga sekitar 20,000 euro (AS$21,800) dan diperkenalkan pada 2027, akan menawarkan ‘mobiliti elektrik peringkat permulaan dari Eropah untuk Eropah’, kata Ketua Pegawai Eksekutif VW, Oliver Blume dalam satu kenyataan.

    Volkswagen juga memperincikan rancangan untuk sebilangan kereta berkuasa bateri baharu dengan harga bawah 25,000 euro yang akan diumumkan pada penghujung 2025.

    Ini termasuk dua kereta kompak daripada jenama VW dan Cupra, serta dua SUV kecil setiap satunya daripada VW dan Skoda. Keempat-empat kenderaan itu akan dikeluarkan di Sepanyol, kata Volkswagen.

    Kumpulan Jerman itu sememangnya telah memperuntukkan pelaburan yang besar untuk mengeluarkan lebih banyak kenderaan elektrik.

    Tetapi kemajuan Volkswagen dalam pembuatan kenderaan elektrik adalah perlahan di kala permintaan dari pasaran yang lemah dan persaingan yang semakin meningkat dari luar negara, terutamanya daripada pembuat kereta tempatan di pasaran terbesarnya di China.

    Rancangan Volkswagen untuk model kompak yang murah, jenis yang umumnya disukai oleh pengguna Eropah, merupakan ‘komitmen yang jelas kepada Eropah sebagai lokasi perindustrian, dasar perindustrian Eropah dan akhirnya bertindak demi kepentingan pelanggan Eropah’, kata Blume dalam kenyataan itu.

    Untuk model baharu itu, Volkswagen akan ‘bergantung pada penyetempatan yang tinggi di Eropah, yang seterusnya memanfaatkan Eropah sebagai lokasi perindustrian’, kata kumpulan itu. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda