Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wakil asing dipelawa ke ESS Zone untuk nikmati keindahan Sabah

    TAWAU, 26 JULAI – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail malam ini mengalu-alukan 10 wakil asing yang menerima jemputan bagi menghadiri program taklimat dan tinjauan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESS Zone), yang bermula hari ini.

    Beliau berkata program dua hari itu diadakan untuk memberi pengalaman kepada delegasi dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Denmark, Jepun, Jerman, Perancis, Kanada dan Finland tentang keselamatan di Pantai Timur Sabah terutama ESS Zone.

    “Saya berharap lawatan wakil asing ini akan meningkatkan pengetahuan mereka mengenai situasi keselamatan dan kesejahteraan di ESS Zone kerana kami akan berkunjung ke Pulau Mabul, Pulau Sipadan dan Pulau Kapalai (di Semporna), semoga usaha kecil ini akan membantu menjadikan bukan sahaja ESS Zone malah Sabah lebih makmur.

    “Saya amat berharap menerusi program ini awda akan dapat merasai situasi yang selamat dan pada masa sama, menikmati keindahan pemandangan serta mengembalikan kenangan indah ini ke negara awda dan mengajak rakan senegara awda untuk mengalami perkara sama iaitu menikmati pengalaman yang menakjubkan di Sabah,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada program itu di sini malam ini.

    Saifuddin Nasution juga berkata kedudukan strategik Sabah di rantau ini secara langsung boleh menyebabkan kebimbangan berkaitan pencerobohan, penculikan, pelanunan, penyeludupan kontraban dan pemerdagangan manusia namun beliau mempercayai sepenuhnya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) bagi membendung serta menangani isu ini. – Bernama

    Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) cuba bermain alat muzik kulintangan sewaktu tiba bersama delegasi asing ESS ZONE di Pulau Mabul. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda