Wednesday, October 30, 2024
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga sekolah didedah kepentingan keselamatan jalan raya

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Bagi menekankan mengenai aspek keselamatan jalan raya, pengedar tunggal kereta jenama Hyundai iaitu Syarikat Setia Motor Sdn Bhd buat julung kalinya telah mengadakan Program ‘Hyundai Outreach Back to School-Traffic Safety’ kepada para pelajar Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam Mulaut, petang tadi.

    Eksekutif Kanan Syarikat Setia Motor Sdn Bhd, Haivee Latib semasa ditemui menyatakan, acara itu merupakan salah satu program rutin Hyundai yang diadakan setiap tahun, tetapi kali ini, ia merupakan kali pertama Hyundai bekerjasama bersama pihak sekolah.

    “Sebelum ini, program tersebut diadakan dengan kerjasama pihak-pihak swasta ataupun diadakan di tempat-tempat awam seperti pusat membeli-belah dan sebagainya, namun tahun ini, Hyundai telah bekerjasama bersama pihak sekolah dalam usaha berterusan untuk memberigakan maklumat-maklumat yang perlu diketahui oleh para pelajar mengenai keselamatan jalan raya dan kenderaan,” jelasnya lagi.

    Antara para pelajar yang menyertai Peraduan Mewarna dalam program berkenaan.
    Haivee Latib semasa menyampaikan taklimat mengenai aspek keselamatan jalan raya dan kenderaan.
    Pemeriksaan kenderaan yang turut diadakan dalam Program ‘Hyundai Outreach Back to School-Traffic Safety’.

    Terdahulu, program yang diadakan di dewan sekolah berkenaan telah diisikan dengan peraduan mewarna dan taklimat daripada Haivee Latib yang menyentuh mengenai pengetahuan keselamatan jalan raya dan kenderaan, siapakah pengguna jalan raya, bagaimana boleh berlaku kemalangan dan sebagainya.

    Program itu turut diisikan dengan pelbagai jenis aktiviti seperti pemeriksaan kenderaan milik guru-guru, kakitangan sekolah dan ibu bapa pelajar; taklimat keselamatan jalan raya dan kenderaan bagi pelajar Tahun 4 hingga 6; Peraduan Mewarna bagi Darjah Pra, Tahun 1 hingga 3; serta kuiz keselamatan jalan raya dan kenderaan, selain penyerahan sumba-ngan.

    Hadir di majlis itu ialah Pengetua sekolah berkenaan, Hajah Kasum binti Haji Maidin serta guru-guru sekolah tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda