Monday, May 13, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Waspada risiko ancaman siber, ‘fikir sebelum klik’

    Oleh Nurdiyanah R.

    Sungguh tidak dapat dinafikan, kehidupan masyarakat di era globalisasi kini begitu banyak bergantung dengan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi serta akses Internet dalam menjalani pelbagai aspek rutin harian.

    Hal ini secara tidak langsung mendedahkan kita sebagai pengguna kepada ancaman serangan siber seperti penyebaran malware, penipuan dalam talian, kebocoran data atau maklumat peribadi dan sebagainya.

    “Bak kata peribahasa Melayu kita, ‘Sediakan payung sebelum hujan’, dalam erti kata lain, orang ramai perlu sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan taktik yang digunakan oleh penjenayah siber.

    “Mereka juga harus sentiasa meningkatkan pengetahuan tentang keselamatan siber kerana ianya bersifat dinamik dan sentiasa berubah dari semasa ke semasa,” begitulah antara yang ditekankan oleh Ketua Jurulatih Kesedaran Keselamatan Siber, Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Brunei (BruCERT), Pengiran Mohd Farid Zulhusni bin Pengiran Aziz semasa ditemui penulis sebelum membincangkan tajuk persoalan ‘Tip dan Langkah-langkah Keselamatan Siber,’ baru-baru ini.

    Peningkatan kes

    Berkongsi mengenai statistik laporan insiden keselamatan siber berdasarkan penelitian laporan yang telah diterima oleh pihak BruCERT daripada orang awam melalui talian hotline, e-mel, WhatsApp dan juga rujukan daripada Talian Darussalam 123, Pengiran Mohd Farid menyatakan terdapat peningkatan statistik laporan insiden keselamatan siber yang amat ketara dari tahun 2021 dan 2022.

    Pengiran Mohd Farid semasa ditemui penulis sebelum membincangkan mengenai tajuk persoalan ‘Tip dan Langkah-langkah Keselamatan Siber, baru-baru ini.
    Terdapat peningkatan statistik laporan insiden keselamatan siber yang amat ketara pada tahun 2022 dengan sebanyak 496 kes telah dilaporkan, berbanding tahun 2021 dengan 388 kes antaranya berkaitan serangan siber, peras ugut dan sebagainya.
    Insiden keselamatan siber yang paling banyak dilaporkan pada tahun 2022 adalah berkaitan dengan media sosial sebanyak 33 peratus diikuti dengan scam sebanyak 21 peratus dan kes pancingan data dan buli siber sebanyak 7 peratus.
    Antara tip dan langkah-langkah keselamatan siber yang perlu dititikberatkan oleh setiap pengguna di alam siber.

    “Pada tahun 2022, sebanyak 496 kes telah dilaporkan, berbanding tahun 2021 dengan 388 kes. Insiden keselamatan siber yang dilaporkan merangkumi pelbagai jenis jenayah siber seperti serangan malware, penipuan atau lebih dikenali sebagai scam, buli siber, jenayah siber yang berkaitan dengan media sosial, peras ugut, penipuan berkaitan pelaburan dalam talian yang banyak ditawarkan melalui media sosial, jenayah siber berkaitan dengan mata wang kripto (cryptocurrency) dan sebagainya,” ujarnya.

    Jelas Pengiran Mohd Farid lanjut, merujuk kes insiden keselamatan siber pada tahun 2022, sebanyak 165 kes dilaporkan iaitu 33 peratus berkaitan dengan media sosial, diikuti dengan scam sebanyak 21 peratus dan kes pancingan data (phishing) dan buli siber sebanyak 7 peratus.

    “Seperti yang dinyatakan, kes yang paling banyak dilaporkan adalah berkaitan dengan media sosial. Ini termasuk rampasan aplikasi WhatsApp dan Telegram, penyamaran atau penipuan dalam talian, skim cepat kaya yang menawarkan pelaburan yang menjanjikan pulangan yang tinggi dengan risiko yang rendah atau tidak mengikuti piawaian sistem pelaburan yang sebenar dan sepatutnya dan bermacam-macam lagi,” kongsinya.

    Waspada risiko ancaman siber

    Rentetan itu, ke arah usaha untuk terus mengamalkan langkah-langkah keselamatan bagi menghindari sebarang risiko yang tidak diingini, Pengiran Mohd Farid menekankan beberapa tip dan langkah keselamatan siber yang disarankan oleh pihak Cyber Security Brunei (CSB) iaitu dengan mengingatkan orang ramai agar jangan menggunakan kata laluan yang sama pada setiap masa.

    Maka dalam hal ini, amalan terbaik ialah untuk menukar kata laluan sekurang-kurangnya tiga atau enam bulan sekali. Jangan menggunakan semula kata laluan yang pernah digunakan dan elakkan menggunakan kata laluan yang sama untuk semua akaun.

    Kita juga perlu memastikan setiap akaun mempunyai kata laluan yang unik, kukuh dan selamat.

    Seterusnya, beliau menyarankan agar para pengguna siber untuk tidak berlebihan dan sebaik-baiknya mengelak dalam berkongsi maklumat peribadi seperti alamat, nombor telefon, nombor kad pintar dan sebagainya.

    Malah berkongsi maklumat seperti warna kegemaran dan nama haiwan kesayangan awda boleh mendatangkan masalah di kemudian hari.

    “Maklumat pengenalan seperti ini sering dikaitkan dengan soalan keselamatan untuk perbankan dan emel. Soalan ini selalunya akan ditanya untuk tujuan verifikasi.

    Oleh itu, perkongsian maklumat peribadi secara berlebihan boleh menyebabkan kes kecurian identiti. Itulah pentingnya untuk kita melindungi identiti kita dengan tidak berkongsi maklumat peribadi yang berlebihan terutamanya di media sosial,” tegasnya.

    Selain itu, beliau turut menasihatkan para pengguna untuk sentiasa melakukan backup files kerana ia begitu penting terutama sekali bagi tujuan pemulihan data sekiranya berlaku kerosakan atau kehilangan maklumat dan dengan sedemikian boleh membantu mengurangkan kesan dan impak serangan siber.

    Justeru, mengemas kini perisian juga menjadi salah satu tip keselamatan siber yang paling penting untuk semua pengguna bagi memastikan perisian dan sistem sentiasa dikemas kini dan dilindungi dari ancaman siber dan akan menghalang penjenayah siber daripada mengeksploitasi sistem yang diguna pakai dalam aplikasi siber.

    Dalam pada itu, beliau turut mengongsikan dengan pengunaan Virtual Private Network (VPN) turut membantu melindungi maklumat peribadi para pengguna siber dan boleh menghalang penjenayah siber daripada mengakses sambungan atau rangkaian seseorang.
    Pada masa yang sama, ia juga dapat membantu mengekalkan integriti maklumat yang dihantar dan juga diterima pengguna dengan selamat serta terkawal.

    Selain itu, para pengguna pelbagai akaun siber juga perlu mengaktifkan two factor authentication atau multi factor authentication.

    Ini memerlukan kita untuk memasukkan kod laluan tambahan yang berfungsi sebagai lapisan keselamatan, yang dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau mengunakan pengecaman cap jari atau muka.

    Fikir sebelum klik

    Di akhir penjelasan bersama Media Permata, Pengiran Mohd Farid turut menekankan agar orang ramai sentiasa menyemai tabiat ‘fikir sebelum klik’ di mana ia adalah salah satu kompenen keselamatan siber yang paling penting dan patut diamalkan untuk memastikan data atau maklumat awda selamat.

    “Sentiasa berhati-hati dengan pautan tidak diketahui yang awda terima sama ada melalui e-mel, mesej atau apabila melayari laman sesawang.

    Berwaspadalah dengan taktik yang digunakan oleh penjenayah siber dengan meningkatkan pengetahuan tentang keselamatan siber kerana ia sentiasa berubah dari semasa ke semasa,” ujarnya lagi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Penggodam Korea Utara curi data dari komputer mahkamah

    SEOUL, 12 MEI - Penggodam Korea Utara mencuri data sensitif, termasuk rekod kewangan individu, daripada rangkaian komputer mahkamah Korea Selatan selama dua tahun, kata...