Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    25 alumni YSEALI dirai dalam resepsi brunch

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 FEB – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Brunei Darussalam hari ini telah meraikan alumni program pertukaran kerajaan AS yang baru pulang pada majlis resepsi brunch di kediaman Duta AS.

    Jamuan juga menandakan 10 tahun program pertukaran paling popular Kedutaan AS untuk warga Brunei, Inisiatif Pemimpin-pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) dan menghimpun seramai 25 warga Brunei yang telah menyertai pelbagai program pertukaran dibiayai kerajaan AS pada suku terakhir 2022.

    Antara program itu ialah YSEALI, Program Pelajar Asing Fulbright, Program Lawatan Biasiswa Fulbright AS-ASEAN, Program Kepimpinan Pelawat Antarabangsa (IVLP), Program Penyelesaian Komuniti dan Program UGRAD Global.

    Majlis itu dihadiri oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak AS ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryn R McClelland yang turut menyampaikan ucapan mengingatkan para alumni bahawa mereka kini adalah sebahagian daripada rangkaian elit di seluruh dunia.

    “Terdapat lebih satu juta alumni program pertukaran Jabatan Negara AS di seluruh dunia, termasuk lebih daripada 50 pemenang Hadiah Nobel dan lebih 350 ketua negara serta kerajaan semasa dan sebelumnya,” katanya.

    PYT Caryn R McClelland semasa menyampaikan ucapannya.
    Antara alumni YSEALI yang hadir.

    Menurutnya, tahun ini menandakan ulang tahun ke-10 YSEALI yang telah membantu membina jambatan antara pemimpin muda di ASEAN dan AS sejak 2013 lagi.

    Program itu terbuka kepada belia berumur 18 sehingga 35 tahun yang memfokuskan penglibatan sivil, pemerkasaan ekonomi, keusahawanan sosial, pendidikan dan isu alam sekitar.

    Di seluruh Asia Tenggara, lebih 100,000 belia telah menyertai rangkaian YSEALI untuk memperoleh kemahiran kepimpinan dan bekerja merentasi sempadan bagi mencari penyelesaian kepada cabaran serantau dan global, tambahnya.

    Puan Yang Terutama juga menyenaraikan pelbagai program pertukaran di bawah YSEALI termasuk Academic Fellowship, Professional Fellowship, YSEALI Academy at Fulbright Vietnam dan bengkel serantau.

    YSEALI merupakan program pertukaran belia utama Jabatan Negara AS yang menumpukan Asia Tenggara dan kunci kepada perkongsian sosiobudaya AS dan ASEAN, jelasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda