KOTA KINABALU, 13 SEPT – Seramai 30,000 pengunjung dijangka menghadiri majlis sambutan Hari Malaysia 2024 peringkat kebangsaan yang berlangsung di Padang Merdeka pada 16 September, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew.
Beliau yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2024 berkata sementara menanti acara utama bermula, pra-persembahan akan bermula seawal 5 petang hingga 7:30 malam diselangselikan dengan ketibaan jemputan serta menampilkan persembahan artis.
“Penampilan khas maskot adiwira di kawasan tapak acara pascapersembahan akan diteruskan selepas persembahan bunga api dan keberangkatan pulang tetamu kehormat,” katanya pada sidang media hari ini.
Liew berkata, antara acara yang dijadual berlangsung pada malam itu ialah menandatangani Buku Khas sambutan Hari Malaysia 2024 oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor disaksikan oleh Liew; dan Menteri Komunikasi Malaysia, Fahmi Fadzil selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2024.
Beliau berkata bagi memberkati sambutan itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) akan menganjurkan majlis bacaan yasin dan doa selamat pada hari ini di Masjid Nurul Hikmah, Bukit Padang.
Liew berkata penganut agama lain juga digalakkan untuk bersama-sama mendoakan kesejahteraan dan keselamatan negara mengikut kepercayaan masing-masing. – Bernama