Oleh: Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 01 NOV – Atas Titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, seramai 53 pegawai- pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah diperkenankan untuk dinaikkan pangkat, hari ini.
Pada majlis berkenaan, seramai 17 pegawai dinaikkan pangkat dari Pemangku Mejar, Kapten dan Leftenan (TLDB) Tetap ke Mejar/Leftenan Komander (TLDB) Tetap, lima pegawai dinaikkan pangkat dari Kapten Tetap ke Pemangku Mejar dan 31 pegawai dinaikkan pangkat dari Pemangku Kapten/Leftenan (TLDB) dan Leftenan/Leftenan Madya (TLDB) Tetap ke Kapten/Leftenan (TLDB) Tetap.
Majlis Penyampaian Lencana Kenaikan Pangkat telah disempurnakan oleh Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dalam majlis yang berlangsung di Mes Pegawai, Berakas Garison.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof; Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (Bersara) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin; ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan, Jawatankuasa Eksekutif ABDB dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan serta ahli keluarga pegawai-pegawai yang telah dinaikkan pangkat.
Sebahagian daripada penyampaian lencana berkenaan.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT) , Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar bagi memberkati majlis berkenaan.